Lianson Fleet diyakini raih keuntungan tinggi hasil kerjasama dengan PV Drilling – Aminvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lianson Fleet diyakini raih keuntungan tinggi hasil kerjasama dengan PV Drilling – Aminvest

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Nov – Usaha sama antara Lianson Fleet Group (LFG) dan Petrovietnam Drilling (PV Drilling) dijangka menyumbang antara RM31 juta hingga RM270 juta setahun kepada keuntungan LFG dengan kadar pertumbuhan tahunan purata (CAGR) 38% selama lima tahun, menurut AmInvestment Bank.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan pengaktifan progresif antara satu hingga enam pelantar gerudi dari FY27F hingga FY34F, kadar penggunaannya antara 87% hingga 99%, serta peningkatan kadar sewa hariannya sebanyak 6% setahun daripada AS$85,000 kepada AS$128,000.

 

Aminvest berkata, setiap pelantar gerudi tambahan dijangka meningkatkan pendapatan kumpulan sebanyak 26% bermula FY27F, menjadikan aliran tunai LFG lebih stabil dan berterusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

“Perkongsian tersebut membolehkan LFG mengembangkan perkhidmatan tenaga huluan melalui kepakaran PV Drilling manakala PV Drilling pula mendapat akses pasaran Malaysia.

 

“Pada peringkat awal, usaha sama ini dijangka menyewa pelantar gerudi yang membolehkan LFG mengekalkan perbelanjaan modal pada tahap minimum dan mempercepatkan tempoh pulangan pelaburan. 

 

“Sementara itu, pembelian rig secara selektif hanya akan dilakukan apabila terma yang menarik diperoleh dan aliran tunai syarikat dijangka stabil selepas kontrak diperoleh,” kata Aminvest dalam nota kajiannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lianson Fleet, PV Drilling dari Vietnam tubuhkan syarikat usaha sama perkhidmatan minyak & gas

 

Struktur pengurusan akan terdiri daripada enam pengarah dengan wakil tiga orang dari daripada setiap pihak.

 

Aminvest berkata, perancangan itu menunjukkan tadbir urus yang seimbang dan membolehkan kedua-dua pihak berkongsi pengaruh dalam operasi syarikat.

 

“Pengumuman ini mengurangkan risiko berkaitan nilai perkhidmatan tenaga yang dianggarkan dalam harga sasaran (TP) kami dan menjadikan penilaian saham lebih kukuh mengikut standard sektor infrastruktur tenaga.

 

“Secara berhati-hati, kami akan menyemak semula TP setelah Perjanjian Pemegang Saham (SHA) rasmi dilaksanakan dan kontrak penggerudian disahkan, bagi memastikan penilaian syarikat mencerminkan situasi sebenar.

 

“Kami mengekalkan saranan Beli dengan TP RM3.00** (+51% potensi kenaikan), berdasarkan kaedah blended SOTP menggunakan multiple 8x PE untuk OSV, 9x PE untuk pengangkutan marin, 13x PE untuk perkhidmatan tenaga, dan 17x PE untuk potensi infrastruktur kuasa ASEAN,” kata Aminvest.- DagangNews.com