Lianson Fleet, PV Drilling dari Vietnam tubuhkan syarikat usaha sama perkhidmatan minyak & gas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lianson Fleet, PV Drilling dari Vietnam tubuhkan syarikat usaha sama perkhidmatan minyak & gas

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov – Lianson Fleet Group Berhad (LFG) menandatangani perjanjian dengan PetroVietnam Drilling & Well Service Corporation (PV Drilling) untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama di Malaysia bagi meneroka peluang dalam perkhidmatan minyak dan gas khususnya pasaran platform penggerudian terapung yang boleh dinaik-turunkan (jack-up rig).

 

Syarikat usaha sama itu akan memiliki dua platform gerudi itu pada peringkat awal, dengan LFG memegang 51% dan PV Drilling 49% pegangan ekuiti. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LFG berkata, aktiviti utama usaha sama itu termasuk pemilikan dan penyewaan platform penggerudian, penyediaan perkhidmatan penggerudian serta perkhidmatan penutupan platform (decommissioning) dan perkhidmatan minyak dan gas lain. 

 

“Struktur pengurusan akan terdiri daripada enam pengarah dengan wakil tiga orang dari daripada setiap pihak.

 

“Kerjasama ini memberi peluang kepada LFG untuk memperluas perkhidmatan marin dan sokongan luar pesisir, mengukuhkan kehadiran di pasaran utama ASEAN dan memanfaatkan permintaan meningkat untuk aktiviti penggerudian di rantau ini.

 

“PV Drilling pula membawa pengalaman teknikal dan hubungan kukuh dengan syarikat minyak nasional dan antarabangsa di ASEAN,” katanya.

 

Perjanjian pemegang saham dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2026. Perjanjian itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham LFG atau pihak berkuasa lain. 

 

LFG menegaskan bahawa kerjasama ini adalah dalam kepentingan terbaik syarikat dan tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam usaha sama ini.

 

LFG yang sebelum ini dikenali sebagai Icon Offshore Berhad memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan marin dan pengangkutan, mengendalikan 21 kapal sokongan luar pesisir (OSV) serta 39 aset pengangkutan marin lain, menjadikannya antara pemain utama serantau sektor itu. - DagangNews.com