KUALA LUMPUR 22 Jan – Nationgate Holdings Bhd mengesahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah menamatkan siasatan cukai ke atas kumpulan itu dan mendapati rekod syarikat adalah teratur, susulan operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan penyeludupan besi buruk.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu berkata, pihaknya menerima notis bertarikh 19 Jan daripada LHDN yang mengesahkan siasatan berkenaan telah selesai.
Nationgate turut memaklumkan satu akaun bank kumpulan sebelum ini diletakkan di bawah pemerhatian SPRM, telah ditarik balik.
Perkembangan terkini itu menyusul pengumuman pada Julai tahun lalu apabila Nationgate memaklumkan SPRM telah menyerbu premis anak syarikat milik penuhnya, NationGate Solution (M) Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan penyeludupan besi buruk.
Serbuan tersebut dikaitkan dengan operasi berskala besar SPRM yang dikenali sebagai “Op Metal”, yang menyasarkan sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri.
Operasi itu dipercayai melibatkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa dan dilaporkan menyebabkan kerajaan mengalami kehilangan hasil cukai dianggarkan melebihi RM950 juta.
“Lembaga pengarah ingin memaklumkan pada 20 Jan 2026 pada waktu malam, syarikat telah menerima notis bertarikh 19 Jan 2026 daripada LHDN yang menyatakan siasatan telah diselesaikan dan rekod syarikat adalah teratur. Akaun bank syarikat yang sebelum ini ditandakan oleh SPRM juga telah dinormalkan,” katanya dalam kenyataan itu.
Nationgate menambah, kumpulan itu akan terus menguruskan operasinya dengan tahap integriti, ketelusan dan disiplin pematuhan kawal selia yang tinggi, selaras dengan semua undang-undang serta keperluan yang berkenaan. - DagangNews.com








