Lestari Tenaga Hijau, CEIG rancang bina Taman Solar 1GW di Kuala Ketil, Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lestari Tenaga Hijau, CEIG rancang bina Taman Solar 1GW di Kuala Ketil, Kedah

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 17 Okt – Lestari Tenaga Hijau Sdn Bhd merancang untuk membangunkan projek taman solar berskala satu gigawatt (GW) di Kuala Ketil, Kedah secara usaha sama dengan China Energy International Group (CEIG) Sdn Bhd.

 

Kedua-dua pihak telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam projek berimpak tinggi itu yang dianggarkan menelan pelaburan sebanyak RM3.5 bilion.

 

Di bawah MoU tersebut, Lestari Tenaga Hijau akan bertindak sebagai pemaju utama tempatan dan pelabur utama, manakala China Energy International Group akan menyumbang kepakaran kejuruteraan serta teknologi solar berskala besar.

 

Selain itu, Lestari Tenaga Hijau turut menandatangani perjanjian kerjasama bersama Kester Sdn Bhd, yang akan membantu dalam mendapatkan kelulusan di peringkat negeri dan menyelaras pelaksanaan projek di peringkat tempatan.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Lestari Tenaga Hijau, perjanjian-perjanjian tersebut dimeterai pada Khamis sempena Pameran dan Persidangan Produk Eko & Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2025.

 

Taman Solar Kuala Ketil akan dibina di atas tanah seluas kira-kira 2,000 ekar dan dijangka mampu membekalkan tenaga bersih kepada lebih 500,000 isi rumah serta mengurangkan sehingga 1.2 juta tan pelepasan karbon setiap tahun. 

 

Projek ini turut dijangka mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembinaan dan operasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lestari Tenaga Hijau, Ahmad Joahari Abu Bakar berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk beralih kepada masa depan yang rendah karbon.

 

“Hari ini bukan sahaja menandakan permulaan sebuah projek tenaga utama, malah merupakan langkah nyata dalam mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi hijau. 

 

"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan rakan antarabangsa dalam membina masa depan tenaga yang mampan untuk negara,” katanya.

 

Pengarah Urusan China Energy International, Ding Qian pula menyifatkan projek ini sebagai penanda aras penting dalam kerjasama tenaga hijau antara Malaysia dan China.

 

“Sebagai peneraju global dalam tenaga boleh diperbaharui, CEIG komited untuk membawa teknologi dan kepakaran terkini ke Malaysia,” ujar beliau. - DagangNews.com