Lebihan sarung tangan merosot disebabkan gangguan bekalan bahan mentah di Selat Hormuz — HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebihan sarung tangan merosot disebabkan gangguan bekalan bahan mentah di Selat Hormuz — HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 April — Gangguan berterusan di Selat Hormuz yang menjejaskan aliran nafta dari Timur Tengah kini muncul sebagai penyebab utama kepada isu pengurangan bekalan sarung tangan global.


Menurut analisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), perkembangan itu sekali gus berpotensi mengubah landskap industri produk sarung tangan yang sebelum ini dibelenggu dengan masalah tekanan harga.


Firma itu menambah, kejatuhan bekalan nafta sebanyak 37% boleh memberi kesan ketara pengeluaran 'nitrile butadiene rubber' (NBR), bahan utama dalam proses pembuatan sarung tangan jenis nitril.


"Pengurangan bahan tersebut sebenarnya berpotensi mengecilkan kapasiti pengeluaran sarung tangan nitril global sekitar 25% daripada jumlah kapasiti kini," katanya dalam nota kajiannya hari ini.


Keadaan berkenaan jelas HLIB, turut menjadikan bekalan produk tersebut akan susut kepada kira-kira 384 bilion unit setahun berbanding permintaan yang stabil kelazimannya sekitar 341 bilion unit.


Situasi defisit ini jelas firma penyelidikan berkenaan, boleh mengurangkan lebihan bekalan dan secara beransur-ansur menyokong pemulihan kuasa penentuan harga dalam kalangan pengeluar produk.


Sebelum ini, ia mengunjurkan kadar penggunaan kilang global sekitar 67%, di bawah paras seimbang industri iaitu 85%, dengan bekalan mencecah 512 bilion unit berbanding permintaan 341 bilion unit.


"Pada masa sama, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) melaporkan gangguan menjejaskan laluan perkapalan global, yang memberi tekanan kepada stok dan kos NBR," kata HLIB.

 

sarung tangan_DagangNews


Bagaimanapun jelas firma tersebut, pemain industri berskala besar dijangka lebih berdaya tahan dalam situasi ini berbanding pengeluar kecil yang lazim bergantung kepada satu sumber bekalan NBR.


Justeru, ia menjangkakan dalam keadaan bekalan bahan mentah yang amat terhad, pembekal diramal lebih berkecenderungan mengutamakan pelanggan sedia ada kerana sudah memiliki profil kredit kukuh.


Sejak 19 Mac 2026 kata HLIB, pembekal NBR mengenakan bayaran pendahuluan antara 20% hingga 30%, dengan kemungkinan akan meningkat sekiranya ketegangan geopolitik di Timur Tengah berlarutan.


"Ini memberi tekanan kepada aliran tunai pengeluar kecil, malahan tiga pengeluar utama negara mencatat pulangan ke atas ekuiti yang rendah sekitar 3.7% hingga 4.0% dalam suku terkini," ujarnya.


Firma penyelidikan tersebut merujuk kepada Top Glove Corporation Berhad, Hartalega Holdings Berhad dan Kossan Rubber Industries Berhad dengan mencatatkan kos ekuiti antara 9.4% hingga 10.6%.


HLIB di samping itu berpandangan, kekangan bahan mentah dan kemungkinan penutupan sementara kilang boleh mempercepatkan penyingkiran pemain sektor sarung tangan yang lemah daripada pasaran semasa.


Dalam jangka panjang tambahnya, konflik berterusan di rantau Timur Tengah berpotensi mempercepatkan proses penstabilan industri dengan mengurangkan lebihan kapasiti yang berlaku sebelum perang.


"Sehubungan itu, kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor sarung tangan buat masa ini, dengan mengambil kira ketidaktentuan geopolitik yang masih tinggi," katanya. - DagangNews.com