Lebihan kos tekan margin UUE bagi 3QFY26, penganalisis yakin tidak jejas prospek jangka sederhana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebihan kos tekan margin UUE bagi 3QFY26, penganalisis yakin tidak jejas prospek jangka sederhana

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Jan — Tekanan margin akibat berlaku lebihan kos pelbagai projek memberi kesan kepada prestasi kewangan UUE Holdings Berhad bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26).


Bagaimanapun dua firma penyelidikan tempatan, berpandangan isu tersebut hanya bersifat sementara yakin keadaan pada suku berkenaan tidak menjejaskan prospek jangka sederhana kumpulan itu.


Menurut Public Investment Bank, jika tidak termasuk perbelanjaan luar biasa berjumlah RM12.6 juta, syarikat itu mencatatkan untung bersih RM6.4 juta pada 3QFY26, meningkat 3.9% suku ke suku (QoQ).


"Keadaan ini didorong oleh sumbangan yang lebih kukuh dalam segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah, khususnya menerusi banyak projek diperoleh di Singapura," katanya dalam analisis hari ini.


Jelasnya, secara tahun ke tahun (YoY), keuntungan selepas cukai itu pula namun menyusut 11.7%, berikutan kos lebihan dalam segmen kejuruteraan, meskipun hasil segmen ini meningkat 30.3%.


Tambahnya, bagi tempoh sembilan bulan FY26 (9MFY26), keuntungan bersih teras UUE mencecah jumlah RM14.2 juta, tetapi angka berkenaan hanya merangkumi kira-kira 5.3% daripada unjuran PublicInvest.


Sehubungan itu, firma tersebut menurunkan unjuran hasil kumpulan berkenaan pada FY26 sebanyak 29.7% bagi mencerminkan faktor tekanan margin, namun mengekalkan anggaran pada FY27 hingga FY28.


"Ini dengan menilai kos lebihan itu adalah khusus kepada projek tertentu, bukan bersifat struktur, dan kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) masih lagi 73 sen," ujarnya.

 

Artikel berkaitan: Hasil UUE Holdings melonjak 30% kepada RM60.06 juta pada 3QFY26


PublicInvest turut menekankan buku tempahan UUE yang kukuh berjumlah RM508.5 juta, memberikan keterlihatan hasil tiga tahun, disokong oleh perbelanjaan modal Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli', tetapi menyemak turun TP kepada 64 sen daripada 71 sen, mengambil kira pencairan pendapatan sesaham susulan penerbitan saham tambahan.


Firma itu menjelaskan yang kerugian bersih utama 3QFY26 berpunca daripada caj ESOS RM12.6 juta, manakala keuntungan teras RM6.4 juta adalah selari dengan jangkaan dalaman mereka sendiri.


"Walaupun kos pentadbiran meningkat, kami berpandangan lonjakan tersebut adalah sebahagian besarnya tidak berulang dan dijangka kembali normal pada suku akan datang," katanya dalam nota.


RHB Research turut merujuk peningkatan ketara bil projek UUE di pasaran Singapura dan pengembangan margin kasar, selain menekankan buku tempahan syarikat itu kukuh mencecah sebanyak RM508.5 juta.


Ia optimisk terhadap prospek jangka panjang, disokong kitaran perbelanjaan modal TNB dan SP Power Assets, serta potensi pertumbuhan baharu dalam kerja penggerudian arah melintang bawah tanah.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan berpandangan walaupun prestasi jangka pendek UUE terkesan oleh kos lebihan dan perbelanjaan sekali sahaja, asas perniagaan pendapatan kekal kukuh.


Keadaan tersebut berdasarkan analisis mereka, diyakini dapat menyokong pertumbuhan dan keterlihatan hasil kumpulan berkenaan pada tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com