Lebih banyak projek C2C siap bantu hasil TM pulih semula pada 2HFY25 - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih banyak projek C2C siap bantu hasil TM pulih semula pada 2HFY25 - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 SeptTelekom Malaysia Berhad (TM) dijangka mencatat pemulihan hasil dalam separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25), menurut Public Investment Bank (PublicInvest).


Firma itu berkata, ia susulan penyempurnaan lebih banyak projek Pelanggan ke Pelanggan (C2C), dan ia turut mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap kaunter telekomunikasi utama negara itu.


Ia menjangkakan lonjakan hasil TM mengimbangi penurunan pendapatan pada separuh pertama, dengan prestasi setakat 1HFY25 masih selari dengan jangkaan, merangkumi 49% daripada anggaran firma itu.


“Prestasi semasa kumpulan berkenaan tidak mengejutkan, malah kami menjangka pertumbuhan yang lebih kukuh dicatatkan dalam tempoh 2HFY25,” kata PublicInvest dalam nota kajiannya hari ini.


TM mencatat kenaikan keuntungan bersih 1.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM403 juta bagi suku kedua (2QFY25), disokong penurunan kos tenaga kerja sebanyak 15.6% hasil inisiatif pengoptimuman. 


Syarikat berkenaan kata firma penyelidikan tersebut, turut mengisytiharkan pembayaran agihan dividen interim sebanyak 12.5 sen sesaham, sama seperti tempoh yang sama tahun sebelumnya.


PublicInvest menambah, walaupun pendapatan TM sebenarnya menyusut sebanyak 4.7% YoY, segmen utama masih menyumbang secara signifikan antaranya Unifi kekal dengan 50% hasil keseluruhan hasil.


"Situasi positif turut didorong oleh pertumbuhan pelanggan (+1.8%), manakala segmen TM One merosot 9.4% akibat kelewatan projek, namun dijangka menyumbang semula dalam 2H25," kata firma itu lagi.


Sementara segmen TM Global pula tambah firma itu, merekodkan kemerosotan sebanyak 7.6% disebabkan sumbangan lebih rendah daripada perkhidmatan wavelength, IRU, dan trafik suara antarabangsa.


Bagaimanapun PublicInvest optimis hala tuju TM dalam mencapai status 'Digital Powerhouse' menjelang 2030, khususnya menerusi TM Global dan dijangka menjadi tunjang pertumbuhan masa depan.


Antara faktor pemacu termasuk perluasan rangkaian jalur lebar dan infrastruktur antarabangsa,
pembinaan kabel dasar laut, pusat data (DC) dan pelaksanaan perkomputeran berteknologi terkini.


"TM juga dijangka menerokaan banyak lagi teknologi baharu seperti GPU-as-a-Service (GPUaaS) yang akan menjana pertumbuhan syarikat secara jangka panjang," kata firma penyelidikan tersebut.


Dengan kemasukan lebih banyak operator skala hiper antarabangsa yang membina DC di Malaysia, TM berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi pemacu utama kesalinghubungan digital ASEAN.


Selain itu PublicInvest jangka TM terus meraih manfaat daripada pelaksanaan teknologi 5G melalui penyediaan sokongan gentian kepada penyedia rangkaian telekomunikasi terlibat. - DagangNews.com