Lebih 85% kilang Matrix Concepts di MVV TechValley habis ditempah semasa pra-pelancaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 85% kilang Matrix Concepts di MVV TechValley habis ditempah semasa pra-pelancaran

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – Matrix Concepts Holdings Bhd mencatatkan kadar tempahan melebihi 85 peratus bagi fasa terkini kilang separuh berkembar 1.5 tingkat di Malaysia Vision Valley (MVV) TechValley Biz Park semasa pra-pelancaran baru-baru ini.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Kelvin Lee Chin Chuan berkata permintaan tinggi terhadap fasa kilang separuh berkembar ini menunjukkan minat yang meningkat terhadap pembangunan industri yang dirancang dengan baik dalam MVV.

 

“Pemilik perniagaan kini mencari lokasi yang menawarkan bukan sahaja zon perindustrian tradisional, tetapi juga akses strategik, sokongan ekosistem dan potensi pertumbuhan jangka panjang yang menjadi tarikan utama seperti projek di MVV TechValley,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Fasa terbaharu itu menyediakan 40 unit hartanah industri dengan keluasan dari 6,307 kaki persegi setiap unit dan dijual pada harga antara RM3.4 juta hingga RM4.4 juta setiap unit.

 

Matrix Concepts berkata kesemua unit hartanah itu menarik minat pelbagai pembeli dari sektor pembuatan, logistik dan teknologi yang mencari ruang dalam koridor MVV 2.0.

 

MVV TechValley kekal menarik minat kerana lokasinya yang strategik dan integrasi dengan visi pembangunan lebih luas dengan akses terus ke Lebuhraya Nilai-Labu-Enstek serta berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang.

 

Projek ini adalah pembangunan industri kedua oleh Matrix Concepts selepas Sendayan TechValley, yang mana semua fasa projek tersebut habis dijual.

 

MVV TechValley terletak dalam MVV City, sebuah bandar yang dirancang secara menyeluruh dengan integrasi antara kawasan industri, kediaman, pusat komersial, dan kemudahan gaya hidup.

 

Susulan permintaan tinggi bagi fasa awal ini, Matrix Concepts merancang pembangunan industri tambahan di kawasan itu, termasuk kilang separuh berkembar dan kilang kluster, bagi memenuhi keperluan perniagaan yang semakin meningkat.- DagangNews.com