KUALA LUMPUR 14 Ogos - Sebanyak 434 syarikat, melibatkan lebih 34,000 kuota, telah disyorkan untuk kelulusan sehingga 9 Julai bagi pengambilan pekerja asing, kata Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata kelulusan khas ini bertujuan menangani kekurangan tenaga kerja dan meningkatkan produktiviti serta hasil negara.
“Bagi mengatasi kekurangan tersebut, kerajaan telah memberikan kelulusan kuota khas bagi pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan secara kes demi kes,” katanya di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (Pakatan Harapan–Beruas) yang bertanya mengenai keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan, khususnya kelapa sawit dan getah, serta kuota yang diberikan bagi menangani kekurangan tersebut.
Chan berkata, statistik Jabatan Imigresen setakat 30 Jun tahun ini menunjukkan terdapat 258,153 pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih aktif dalam sektor perladangan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan jumlah ini masih tidak mencukupi, dengan industri melaporkan keperluan tambahan sebanyak 30,000 hingga 40,000 pekerja, mengambil kira mereka yang telah pulang ke negara asal selepas permit tamat tempoh. - DagangNews.com








