KUALA LUMPUR 28 Okt – Lawatan Presiden AS, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN dan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad berpotensi meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 0.5 hingga 0.7 mata peratus setiap tahun sehingga 2030, kata seorang penganalisis.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Ekonomi PPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, pendekatan “deal-blitz” telah memudahkan kerjasama perdagangan yang lebih pantas, penyesuaian tarif dan pembentukan perkongsian baharu dalam sektor mineral kritikal dan rantaian bekalan.
Beliau berkata, perjanjian perdagangan itu membantu Malaysia kekal sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang neutral, membolehkan negara berniaga dengan lebih bebas dan fleksibel dengan pelbagai negara.
Menyentuh kesan kepada ekonomi Malaysia berkaitan struktur tarif yang dikekalkan dan kadar tarif yang lebih rendah untuk 1,711 produk eksport Malaysia ke AS, beliau berkata, ia akan meningkatkan daya saing eksport negara, terutamanya dalam sektor pembuatan dan barangan elektrik.
“Sebagai hasilnya, perdagangan antara Malaysia dan AS boleh meningkat antara 15–18%, mencapai sekitar AS$110 bilion (AS$1=RM4.2) menjelang 2030 (anggaran model).
“Seiring dengan itu, keyakinan pelabur yang bertambah mungkin membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) tambahan sebanyak AS$12 bilion–AS$15 bilion dalam beberapa tahun akan datang (anggaran model),” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, mengenai pengecualian tarif yang melibatkan lebih 12% daripada eksport Malaysia ke AS, Mohd Sedek berkata ia akan meningkatkan pendapatan eksport, meningkatkan daya saing industri, termasuk mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 peluang pekerjaan baharu, terutamanya di kluster agro-teknologi dan pembuatan bernilai tinggi di Pulau Pinang.
Langkah itu juga akan merangsang lebih banyak penyelidikan dan inovasi, meningkatkan pendapatan syarikat berkaitan eksport, sambil menyediakan platform untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berkembang ke pasaran Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), tambah beliau.
Ahad lalu, Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani ART, yang membolehkan sehingga 1,711 produk Malaysia, termasuk minyak sawit, getah dan koko, serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa dieksport ke AS dengan kadar tarif lebih rendah daripada 19%.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, barangan yang dikecualikan ini, bernilai AS$5.2 bilion (RM21.96 bilion), mewakili kira-kira 12% daripada jumlah eksport Malaysia.
AS juga telah memberi komitmen untuk mengekalkan kadar tarif timbal balik pada 19% yang pertama kali dinyatakan dalam Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025, seperti yang dipinda untuk barangan asal Malaysia.
Mengenai prospek, Mohd Sedek berkata, ekonomi Malaysia dijangka kekal positif pada 2026, berkembang antara 4.3% hingga 4.5% disokong oleh eksport yang lebih kukuh (ditunjangi oleh perjanjian Malaysia-AS), pertumbuhan sektor pelancongan dan perbelanjaan kerajaan yang stabil.
“Namun, risiko utama masih wujud daripada ketidakpastian global, terutamanya ketegangan AS-China, tetapi kami juga melihat potensi kenaikan,” katanya. - BERNAMA








