Larangan pembelian petrol RON95: Majlis Penasihat Pengguna Negara sokong langkah KPDN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Larangan pembelian petrol RON95: Majlis Penasihat Pengguna Negara sokong langkah KPDN

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan – Tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang merangka peraturan baharu bagi menguatkuasakan larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berdaftar di luar negara mendapat sokongan penuh Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN).
 

 

Pengerusi MPPN Mohd Khair Ngadiron berkata langkah itu dapat memastikan subsidi petrol RON95 disalurkan sepenuhnya kepada rakyat Malaysia serta mengelak ketirisan dan penyalahgunaan oleh pihak yang tidak layak.

 


“Penguatkuasaannya penting agar subsidi kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.

 

“Usaha memperkukuh kawalan terhadap subsidi petrol merupakan langkah strategik untuk menangani ketirisan sumber awam serta memastikan rakyat tempatan mendapat manfaat yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata MPPN turut mengambil maklum penjelasan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A hanya membabitkan larangan terhadap penjualan petrol di stesen minyak, tanpa menekankan larangan terhadap pembelian.

 

 

t
Mohd Khair Ngadiron

 

“Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 dilihat sebagai langkah wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan. 

 

“Peraturan baharu ini bukan sahaja melarang penjualan tetapi juga pembelian petrol RON95 oleh kenderaan asing.

 

“Keputusan ini dijangka dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan subsidi oleh pihak tidak layak, sekaligus membantu kerajaan mengawal beban fiskal yang mungkin menjejaskan kepentingan pengguna domestik,” katanya.

 

Selain itu, langkah ini juga dilihat sebagai usaha untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus, dan mampan, dengan pengawasan yang lebih ketat terhadap transaksi petrol di stesen minyak.

 

Sebagai badan penasihat utama kepada kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN menekankan komitmennya untuk terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi, dan meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.

 

“MPPN turut menggalakkan semua pihak, termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna, untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. - DagangNews.com