KUALA LUMPUR 29 Jan – Kerajaan dijangka menguatkuasakan peraturan yang melarang penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bermula 1 Mac 2026, sebagai langkah memperkukuh kawalan kebocoran dan ketirisan subsidi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Armizan Mohd Ali.
Menurutnya, kementerian akan mewartakan peraturan berkenaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan yang digubal selaras dengan kuasa diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kementerian akan mewartakan peraturan yang melarang pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh bukan warganegara. Ketika ini, perbincangan sedang dijalankan bersama Jabatan Peguam Negara dan penguatkuasaan akan bermula pada 1 Mac 2026,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan larangan itu akan diperkukuh melalui Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), iaitu sistem digital yang merekodkan data merentasi keseluruhan rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi.
Menurut Armizan, eCOSS membolehkan kerajaan menguatkuasakan larangan dengan lebih berkesan kerana sistem itu menjejak pembelian dan transaksi, sekali gus membantu membendung aktiviti penyelewengan dan penyeludupan minyak masak paket bersubsidi yang berlarutan sejak sekian lama.
“Kementerian akan terus menambah baik pengurusan eCOSS sama ada melalui aplikasi mudah alih atau saluran lain yang bersesuaian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pelaksanaan aplikasi mudah alih eCOSS telah diperluaskan secara berperingkat sejak Mei 2025, bermula di Putrajaya, diikuti premis di bawah Program Jualan Rahmah MADANI, seterusnya di Johor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, sebelum diperluas ke premis terpilih di negeri-negeri lain.
Menurutnya, sepanjang fasa perintis, kaedah pembelian dan rekod transaksi secara manual masih dibenarkan bagi memastikan peralihan yang lancar.
“Bantuan dan sokongan di premis jualan turut disediakan oleh peruncit melalui mekanisme khas untuk warga emas dan golongan berpendapatan rendah yang tidak memiliki telefon bimbit dengan capaian internet,” katanya.
Armizan menambah, sistem eCOSS juga akan diintegrasikan dengan platform MyKasih bagi membolehkan pilihan pembelian tambahan menggunakan MyKad, seiring pendekatan yang digunakan dalam Program SARA, dengan usaha itu kini sedang digerakkan bersama Kementerian Kewangan.
Selain itu, katanya, kod QR pada versi baharu MyKad juga boleh dimanfaatkan bagi tujuan pengesahan pembelian minyak masak bersubsidi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) mengenai langkah kerajaan memastikan tiada isi rumah tercicir susulan pelaksanaan aplikasi berkenaan. - DagangNews.com








