Langkah Southern Score beli Nova Pharma bernilai RM5.2 juta diyakini tingkatkan margin - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah Southern Score beli Nova Pharma bernilai RM5.2 juta diyakini tingkatkan margin - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 FebSouthern Score Builders Berhad diyakini kekal optimis terhadap prospek jangka pendeknya, berikutan pengambilalihan 99.5% ekuiti dalam Nova Pharma Solution Berhad.


Menurut analisis TA Securities, langkah pembelian syarikat tersebut bernilai RM5.2 juta daripada JcbNext Berhad dijangka meningkatkan margin dan memperluaskan peluang projek bernilai tinggi.


Firma penyelidikan berkenaan menambah, proses pengambilalihan yang akan diselesaikan sepenuhnya pada suku pertama 2026, membolehkan usaha konsolidasi secara penuh ke dalam kumpulan tersebut.


"Strategi ini dilihat positif dan mampu menaikkan kapasiti teknikal Southern Score, membolehkan syarikat itu membida untuk banyak projek farmaseutikal dan bioteknologi yang kompleks," katanya.


Tender berkenaan jelas TA Securities, mempunyai margin tinggi dan persaingan rendah, dengan Nova Pharma mencatat margin bersih 40%, jauh melebihi purata projek pembinaan tinggi hanya 15%.


Dari segi kewangan pula, kumpulan itu kini mempunyai buku tempahan berjumlah RM1.44 bilion, 6.5 kali ganda daripada jangkaan hasil FY25, menyokong ketahanan pendapatan selama tiga tahun.


Tambahnya, senarai tender Southern Score berjumlah RM1.0 bilion menampilkan projek pembinaan dengan RM648 juta, manakala kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) pula mencecah RM394.3 juta.


"Kami menekankan, kumpulan ini dijangka terus menerima banyak tempahan baharu, disokong hubungan kukuh dengan para pelanggan serta rekod prestasi cemerlang dalam sektor M&E," kata TA Securities. 


Antara projek yang berpotensi diperoleh termasuk Hospital Ayer Keroh bernilai kira-kira RM200 juta, dan tender pembangunan kediaman seperti Platinum Melati Residences sebanyak RM500 juta.


Justeru, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Southern Score dengan harga sasaran 81 sen, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PE) CY27 sebanyak 16 kali.


TA Securities berpegang pada keyakinan yang syarikat ini berupaya mengekalkan prestasi tempahan kontrak baharu dan memperkukuhkan margin melalui Nova Pharma. - DagangNews.com