KUALA LUMPUR 19 Mei — Lambakan hartanah siap tidak terjual yang mencecah paras tertinggi dalam masa tiga tahun menjadi isyarat amaran baharu kepada sektor hartanah di Malaysia, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu menambah, situasi tersebut disebabkan tekanan inflasi, kenaikan kos bahan api dan permintaan pembeli yang semakin berhati-hati mula memberi kesan kepada momentum pasaran.
Jumlah unit kediaman siap yang tidak terjual ujarnya, terus meningkat kepada 32,801 unit pada suku pertama tahun kalendar 2026 (1QCY26) berbanding sebanyak 30,471 unit dicatat pada suku sebelumnya.
"Perkembangan ini menandakan peningkatan untuk enam suku berturut-turut sejak 4QCY24, sebahagian besarnya didorong oleh pertambahan unit gagal terjual," jelas MBSB Research dalam nota analisisnya.
Antaranya di Kuala Lumpur, Melaka dan Pahang, manakala Perak kekal merekodkan jumlah tertinggi iaitu 4,063 unit, dengan trend peningkatan lambakan menunjukkan bekalan masih mengatasi permintaan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan khuatir, situasi tersebut berpotensi memperlahankan pelancaran banyak projek baharu yang sudah dirancang awal oleh pemaju dalam tempoh akan datang.
Selain kediaman biasa kata MBSB Research, lambakan pangsapuri servis turut meningkat kepada 19,263 unit dalam 1QCY26 berbanding 18,752 unit sebelumnya, dengan kebanyakan di Kuala Lumpur dan Johor.
"Di samping itu, pembiayaan pembelian hartanah mula menunjukkan tanda kelembapan apabila permohonan pinjaman terkumpul susut 2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM143.9 bilion pada 1QCY26," tambahnya.
Ujar firma tersebut, isu ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik di rantau Timur Tengah, serta jangkaan kenaikan kos bahan api dijangka memberi tekanan terhadap kemampuan ramai pembeli rumah.
Harga minyak terutamanya petrol kata MBSB Research, yang lebih tinggi boleh meningkatkan tekanan inflasi dan secara tidak langsung menjejaskan sentimen pembelian hartanah dalam tempoh terdekat.
Proses kelulusan pinjaman baharu pula jelasnya, dilihat kekal mendatar dengan jumlah terkumpul sebanyak RM59.9 bilion pada 1QCY26, meningkat hanya 0.1% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
"Pada masa sama, kami menjangka nisbah kelulusan pinjaman yang lebih rendah turut mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati institusi kewangan terhadap sektor hartanah," ujar firma tersebut.
Berdasarkan perkembangan semasa, MBSB Research mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor itu kerana meramalkan sentimen pembelian akan terus sederhana sepanjang tempoh separuh kedua tahun ini.
Menurutnya, kenaikan harga minyak di pasaran, dijangka memberi tekanan kepada margin keuntungan pemaju selain peningkatan lambakan hartanah yang menjadi risiko utama kepada sektor berkenaan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut masih lagi berpandangan positif terhadap beberapa syarikat pemaju yang dikenal pasti mempunyai strategi kukuh dan pemangkin pertumbuhan lebih jelas.
"Antara saham pilihan utama kami ialah Mah Sing Group dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP)RM1.25, disokong strategi tumpuan kepada projek perumahan jenis mampu milik," kata MBSB Research.
Tambahnya, selain itu, Matrix Concepts Holdings turut disyorkan 'beli' dengan TP RM1.55 berikutan potensi pembangunan MVV City Centre di Negeri Sembilan yang memiliki nilai pembangunan kasar besar.
Ia turut mengekalkan pandangan positif terhadap IOI Properties Group dengan TP RM4.64, didorong potensi penambahbaikan nilai tanah dan pembangunan projek bernilai tinggi di Puchong, Selangor.
MBSB Research turut melihat cadangan penyenaraian IOIPG REIT pada separuh kedua 2026 sebagai pemangkin tambahan untuk membuka nilai aset hartanah pelaburan kumpulan. - DagangNews.com








