LAC Med tandatangan perjanjian taja jamin dengan RHB, Alliance menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LAC Med tandatangan perjanjian taja jamin dengan RHB, Alliance menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Dari kiri: Kevin Davies, Liew Yoon Poh, Liew Yoon Kit dan Rizal IL-Ehzan Fadil Azim di majlis memeterai perjanjian taja jamin LAC Med
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt – Penyedia rumusan peranti perubatan, LAC Med Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan RHB Investment Bank Bhd dan Alliance Islamic Bank Bhd menjelang penyenaraian awal (IPO) syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan pada Disember 2025.

 

LAC Med berkata, hasil kutipan daripada IPO itu akan digunakan bagi mempercepatkan pengembangan pasaran dan memperluas portfolio peranti serta penyelesaian perubatan Kumpulan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

 

“Sebagai penyedia rumusan hujung ke hujung dalam pembekalan dan integrasi peranti perubatan, LAC Med kini menyokong lebih 300 pelanggan aktif dalam sektor penjagaan kesihatan serta mempunyai lebih 2,500 unit peralatan perubatan yang telah dipasang di seluruh Malaysia.

 

“Bagi mengukuhkan pendapatan berulang selepas penyenaraian, LAC Med akan meluaskan operasi ke dua segmen baharu – Equipment-as-a-Service (EaaS) dan Medical Equipment Asset Management Services (MEAMS),” kata LAC Med dalam satu kenyataan hari ini.

 

EaaS menawarkan penyelesaian berasaskan langganan dengan gabungan peralatan dan perisian pengurusan yang disesuaikan mengikut keperluan penyedia penjagaan kesihatan, manakala MEAMS ialah sistem perisian untuk menjejak penggunaan peralatan bagi mengoptimumkan keberkesanan aset dan mengurangkan masa henti operasi.

 

LAC Med berkata, sebahagian daripada hasil IPO juga akan digunakan bagi menyokong peluasan serantau ke Indonesia untuk merebut peluang pasaran penjagaan kesihatan yang sedang berkembang pesat di negara itu. 

 

“Selain itu, Kumpulan turut merancang untuk berpindah ke ibu pejabat baharu yang mempunyai kemudahan stor penyimpanan lebih besar dan bilik pameran bagi tujuan demonstrasi produk.

 

“Baki hasil IPO pula akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman, modal kerja dan menampung perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAC Med, Liew Yoon Poh pula berkata, penyenaraian ini akan memacu pertumbuhan syarikat melalui peluasan penyelesaian dan perkhidmatan serta memperkukuh kedudukan LAC Med sebagai penyedia utama penyelesaian perubatan bersepadu di rantau ini.

 

“Kami komited untuk menyediakan penyelesaian perubatan bersepadu yang meningkatkan kualiti penjagaan pesakit dan kecekapan operasi penyedia penjagaan kesihatan. 

 

“Penyenaraian ini akan memperkukuh kerjasama kami dengan jenama antarabangsa dan memastikan kami dapat menawarkan penyelesaian yang komprehensif serta bernilai tinggi kepada pelanggan.

 

“Kami juga sedang mengukuhkan pendapatan berulang melalui platform perubatan berasaskan langganan sambil membiayai kemasukan strategik ke pasaran Indonesia,” katanya.

 

t

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RHB Investment Bank, Kevin Davies berkata, pihaknya berbesar hati menjadi penasihat utama, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin bersama bagi IPO LAC Med.

 

Katanya, penyenaraian ini menandakan satu langkah penting dalam usaha syarikat untuk menawarkan penyelesaian perubatan inovatif yang mampu meningkatkan mutu penjagaan kesihatan.

 

“IPO ini juga mencerminkan kedalaman dan daya tahan pasaran modal Malaysia dalam menyokong syarikat tempatan berpotensi tinggi untuk berkembang di peringkat serantau,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim pula berkata, penyertaan bank itu sebagai penaja jamin bersama mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong syarikat tempatan dinamik dalam sektor teknologi perubatan.

 

“LAC Med mempunyai rekod prestasi kukuh dalam menyediakan penyelesaian peranti perubatan bersepadu dan dikendalikan oleh pasukan pengurusan berpengalaman, yang menjadi asas kukuh bagi pertumbuhan mampan masa depan,” katanya.

 

Sejak ditubuhkan pada 2003, LAC Med telah membina reputasi sebagai rakan strategik kepada penyedia perkhidmatan kesihatan di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan lengkap daripada perancangan awal, reka bentuk kemudahan, pemasangan, integrasi sistem, pengujian serta penyelenggaraan selepas jualan.

 

Kumpulan itu mewakili pelbagai jenama antarabangsa utama termasuk Samsung dan Philips, yang telah bekerjasama sejak 2013 dan 2017 masing-masing. 

 

Sejak 2023, LAC Med turut menjadi pengedar sah bagi Stryker, LG, Epson, SwiftMR, Abbott, annalise.ai, Alpinion, Baxter dan Bayer, sekali gus mengukuhkan portfolio produk serta keupayaan untuk menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pelanggan.

 

Bagi penyenaraian ini, RHB bertindak sebagai penasihat utama, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin bersama, manakala Alliance menjadi penaja jamin bersama. - DagangNews.com