KUALA LUMPUR 27 Mac - Pertumbuhan kukuh yang dicatat LAC Med Berhad (LAC Med) pada tahun kewangan 2025 (FY25) mendorong Rakuted Trade menaikkan unjuran keuntungan FY26F sebanyak 7% kepada RM28.5 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, selari dengan keterlihatan pendapat berulang yang kukuh, pihaknya turut memperkenalkan keuntungan FY27F pada RM33.0 juta.
Susulan semakan ini, Rakuten Trade mengekalkan saranan BELI terhadap saham LAC Med dengan harga sasaran yang dinaikkan kepada RM1.21 daripada RM0.93 sebelum ini, mencerminkan kebolehjangkaan pendapatan yang lebih kukuh daripada asas pendapatan berulang syarikat.
Manfaat Yang Pelbagai
Menurut Rakuten, di bawah Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 (MYMT 2026), negara mensasarkan hasil pelancongan perubatan sebanyak RM12 bilion menjelang 2030, memerlukan pengembangan kapasiti hospital dan pelaburan peranti perubatan yang berterusan.
Portfolio 11 jenama LAC Med merangkumi imaging, diagnostik dan integrasi ICT, menjadikannya penerima faedah langsung dan pelbagai dalam rantaian capex dan opex hospital.
Dengan liputan 58% hospital di Malaysia, LAC Med berada pada kedudukan baik untuk merebut peningkatan perbelanjaan kesihatan, disokong lebih 300 akaun pelanggan aktif dan lebih 2,600 peranti perubatan yang telah dipasang.
Sementara itu Rakuten Trade berkata, segmen pendapatan berulang LAC Med mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 60% YoY pada FY25 kepada RM24.4 juta, menunjukkan keupayaan syarikat membina aliran pendapatan stabil.
Pihak pengurusan menjangkakan pendapatan berulang menyumbang kira-kira 20% daripada jumlah pendapatan FY26, bersamaan RM48.3 juta berdasarkan unjuran jumlah pendapatan RM241.5 juta.
Perjanjian penyelenggaraan dengan Philips bagi mesin MRI dan pengimbas CT yang diperoleh pada Jun 2025 turut mengukuhkan aliran pendapatan berulang, memberikan kebolehjangkaan pendapatan kontrak yang lebih jelas.
Buku tempahan LACMED setakat 15 Februari 2026 berada pada RM216.7 juta, dengan lebih 60% dijangka diiktiraf dalam FY26.
Buku tender pula berada pada RM584 juta, dengan kadar kemenangan sasaran 25%-30%, dijangka menambah sehingga RM175.2 juta projek baharu, menyokong pertumbuhan pendapatan melepasi FY26.
Selain itu, pengembangan di Indonesia melalui PT Fairmed sejak Julai 2025 turut menyumbang pertumbuhan baharu, dengan sumbangan dijangka sekitar 5% daripada pendapatan FY26.
PT Fairmed juga dilantik sebagai pengedar eksklusif peralatan ultrasound oleh Alpinion Medical Systems Co., Ltd di Indonesia.
Justeru Rakuten Trade menyifatkan LAC Med kekal menarik kerana kepimpinan pasaran dalam pengedaran peranti perubatan dengan hak jenama eksklusif, pendedahan langsung kepada pengembangan sektor kesihatan Malaysia melalui MYMT 2026, dan pertumbuhan kukuh dalam pendapatan berulang. - DagangNews.com








