KUALA LUMPUR 16 Feb – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen antara 6.3% hingga 6.5% bagi tahun 2025, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Bagi tahun 2024, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.3% bagi akaun simpanan konvensional dan syariah.
Mohd Afzanizam berkata berdasarkan prestasi KWSP bagi sembilan bulan pertama 2025 yang mencatat peningkatan 11% dalam pendapatan pelaburan kasar, dana persaraan itu kekal berada pada landasan untuk membayar dividen yang baik bagi tahun tersebut.
“Kriteria pemilihan pelaburan KWSP yang berhati-hati dan bertanggungjawab membolehkannya mengoptimumkan imbangan risiko dan pulangan.
“Pendedahan KWSP kepada pasaran global, yang berjumlah kira-kira 38%, serta peruntukan lebih besar kepada aset pendapatan tetap, memberikan campuran aset yang seimbang dan kepelbagaian geografi, seterusnya membantu meminimumkan risiko portfolio sambil memaksimumkan pulangan pelaburan,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata sehingga suku ketiga 2025, ekuiti dan pendapatan tetap masing-masing menyumbang 46% dan 45% daripada jumlah aset KWSP, diikuti oleh hartanah dan infrastruktur sebanyak 7%, dan instrumen pasaran wang sebanyak 2%.
“Setiap kelas aset mempunyai tujuan tersendiri dalam portfolio. Ekuiti terutamanya untuk peningkatan modal, manakala instrumen pendapatan tetap memastikan pemeliharaan modal, dan instrumen pasaran wang menyokong pengurusan kecairan,” katanya.
Mohd Afzanizam menekankan bahawa ekuiti biasanya membawa premium risiko lebih tinggi, manakala instrumen pendapatan tetap dan pasaran wang menawarkan risiko yang lebih rendah.
Ini membolehkan KWSP mengoptimumkan portfolio untuk pulangan lebih baik dan pada masa sama menguruskan risiko secara efektif.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara, Dr Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata strategi KWSP untuk mempelbagaikan kelas asetnya, termasuk pelaburan di dalam dan luar negara, telah banyak membantu dalam mencapai kadar dividen lebih tinggi.
“Selain itu, pasaran ekuiti terus mengukuh, seperti yang dilihat apabila KWSP meningkatkan pegangan sahamnya dalam IJM Corporation Bhd kepada 20.4%, menjadikannya pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan itu.
“Pengukuhan ringgit berbanding mata wang lain juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pelaburan negara,” katanya.
Juliana menekankan bahawa faktor seperti perubahan kadar faedah global, kestabilan mata wang dan ketidaktentuan geopolitik, termasuk pelarasan kadar tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan dasar perdagangan, boleh menjejaskan pulangan dan sentimen pasaran.
Beliau berkata pertumbuhan pesat segmen bekerja sendiri, yang kini melebihi tiga juta individu, sejajar dengan perubahan struktur dalam pasaran buruh seperti peningkatan pekerja gig, merupakan faktor penting di sebalik peningkatan caruman sukarela.
“Saya menjangkakan dividen mungkin bergerak dalam lingkungan 5.5% hingga 6.5% pada tahun-tahun akan datang, dengan turun naik bergantung kepada prestasi pasaran global dan keberkesanan strategi pelaburan KWSP sendiri,” tambahnya. -- BERNAMA








