Kumpulan Bank Islam catat untung RM571.1 juta, naik 3.3% - isytihar dividen 4.12 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kumpulan Bank Islam catat untung RM571.1 juta, naik 3.3% - isytihar dividen 4.12 sen

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Feb - Bank Islam Malaysia Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM571.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), mengukuh sebanyak 3.3% berbanding tahun sebelumnya.

 

Perolehan sesaham turut meningkat kepada 25.20 sen, manakala Pulangan Ekuiti Bersih adalah sebanyak 7.6% bagi FY2024.

 

Peningkatan keuntungan ini didorong oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi dan pengurangan peruntukan bersih untuk pembiayaan terjejas.

 

Sebahagian besar pertumbuhan pendapatan bersih Kumpulan dipacu oleh kenaikan 5.1% dalam pendapatan berasaskan dana bersih yang meningkat kepada RM2.2 bilion.

 

Pencapaian itu disokong oleh pertumbuhan tahun-ke-tahun (y-o-y) dalam sekuriti pelaburan dan pembiayaan dengan margin pendapatan bersih (NIM) yang lebih baik kepada 2.13% bagi FY2024.

 

Selain itu, Kumpulan merekodkan pertumbuhan 11.2% y-o-y dalam fi dan komisen. Peruntukan bersih Kumpulan untuk pembiayaan terjejas dan pendahuluan menurun sebanyak 46.0% kepada RM94.6 juta, mencerminkan peningkatan kos kredit pembiayaan kepada 0.14% berbanding 0.26% yang dicatatkan pada FY2023.

 

Setakat 31 Disember 2024, nisbah pembiayaan terjejas kasar berada pada 1.06%, jauh lebih rendah daripada purata industri sebanyak 1.44%, sekali gus menunjukkan kualiti aset Kumpulan yang kukuh.

 

Dividen tunai

Lembaga Pengarah Bank Islam mengisytiharkan dividen tunai interim satu peringkat kedua 4.12 sen sesaham, menjadikan dividen tahunan berjumlah 15.12 sen sesaham.

 

Pada akhir Disember 2024, jumlah aset Kumpulan berada pada RM96.8 bilion dengan pertumbuhan y-o-y sebanyak 6.4% yang didorong oleh peningkatan dalam sekuriti pelaburan dan pembiayaan.

 

Sehubungan itu, aset bersih sesaham mencatatkan kenaikan lebih tinggi iaitu RM3.38 berbanding tahun kewangan 2023.

 

Peningkatan y-o-y sebanyak 6.3% dalam pembiayaan pengguna dan 6.7% dalam pembiayaan komersial telah menyumbang kepada pertumbuhan dalam pembiayaan kasar.

 

Walau bagaimanapun, penyusutan dalam pembiayaan korporat telah menyebabkan jumlah pembiayaan kasar mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.8% y-o-y kepada RM70.2 bilion.

 

Akaun deposit dan pelaburan pelanggan melonjak sebanyak 6.4% y-o-y kepada RM80.9 bilion. Sementara akaun semasa, simpanan dan pelaburan transaksi (CASATIA) berada pada RM32.1 bilion setakat Disember 2024, diterjemahkan kepada komposisi CASATIA yang sihat sebanyak 39.7%.

 

Nisbah Jumlah Modal kekal teguh pada 20.0% setakat 30 Disember 2024. - DagangNews.com