KUALA LUMPUR 2 Julai – Kuching muncul sebagai destinasi musim panas paling murah di Malaysia dan keenam di Asia menurut tinjauan Agoda.
Kuching merampas kedudukan nombor satu termurah di Malaysia itu daripada Kuala Terengganu yang mendahuluinya pada musim sebelum ini iaitu bagi tempoh April hingga Mei.
Pengarah Negara Agoda untuk Malaysia dan Brunei, Fabian Teja berkata, pemilihan Kuching adalah berdasarkan kadar purata penginapan RM227.64 untuk satu malam.
"Bagai sirih pulang ke gagang, Kuching sekali lagi membuktikan ia tetap menjadi pilihan utama bagi percutian bajet rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Di peringkat Asia pula, Surabaya, Indonesia muncul sebagai destinasi paling bajet, dengan kadar purata hanya RM150.33 semalam, diikuti Tirupati, India (RM158.92) dan Hat Yai, Thailand (RM167.51).
Beliau berkata, data Agoda kali ini jelas membuktikan bahawa ramai pelancong masih bijak memilih destinasi yang bukan sahaja menarik, malah mesra poket mereka.

"Sama ada meneroka lorong-lorong bersejarah di Kuching, menikmati sajian jalanan di Hat Yai atau menyelami keunikan budaya di Tirupati, semuanya memberi peluang untuk mencipta kenangan tanpa membuat dompet anda 'menangis'," katanya.
Berikut adalah hasil analisis kadar purata hotel untuk destinasi paling popular di sembilan pasaran utama Asia.
1. Surabaya, Indonesia – RM150.33
2. Tirupati, India – RM158.92
3. Hat Yai, Thailand – RM167.51
4. Dalat, Vietnam – RM193.28
5. Iloilo, Filipina – RM201.87
6. Kuching, Malaysia – RM227.64
7. Nagoya, Jepun – RM386.55
8. Kaohsiung, Taiwan – RM386.55
9. Daejeon, Korea Selatan – RM399.44 - DagangNews.com








