KUALA LUMPUR 16 Nov – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan jualan tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity untuk perjalanan antara 1 Januari hingga 30 April 2026 akan dibuka kepada orang ramai pada 17 November 2025 (Isnin), bermula jam 10 pagi.
Pembukaan jualan ini turut merangkumi tempoh perjalanan musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah, bagi membolehkan penumpang merancang perjalanan ke kampung halaman atau destinasi percutian lebih awal.
Mulai 1 Januari 2026, perkhidmatan ETS dan KTM Intercity (kecuali Shuttle Tebrau) akan menggunakan jadual waktu perjalanan baharu.
Bagi perkhidmatan ETS, sebanyak 34 perkhidmatan akan beroperasi setiap hari, selain dua (2) perkhidmatan tambahan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bagi sektor Kluang–KL Sentral–Kluang, menjadikan keseluruhan 36 perkhidmatan sehari.

Sementara itu, perkhidmatan KTM Intercity yang merangkumi Ekspres Rakyat Timuran (ERT) dan Shuttle Timuran (ST) akan menggunakan jadual perjalanan baharu melibatkan 16 perkhidmatan harian, iaitu dua (2) perkhidmatan ERT dan 14 perkhidmatan ST yang dioperasikan menggunakan tren DMU.
Bagi perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor JB Sentral–Gemas–JB Sentral, jualan tiket ditangguhkan buat sementara waktu dan akan dimaklumkan kemudian.
Penumpang disaran merancang perjalanan lebih awal bagi musim cuti ini serta sentiasa menyemak jadual terkini melalui aplikasi KTMB Mobile, selain mengikuti perkembangan semasa menerusi saluran media sosial rasmi KTMB.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi KTMB atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. - DagangNews.com








