KUALA LUMPUR 24 Sept - Kronologi Asia Berhad memperoleh pendapatan RM83.35 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), peningkatan 4.7% daripada RM79.6 juta yang diraih setahun sebelumnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pembekal teknologi dan penyelesaian data serta awan itu berkata, untung bersih direkodkan pada suku tahun berakhir 31 Julai 2024 sebanyak RM1.63 juta, lebih rendah berbanding RM3.04 juta pada 2QFY24.
"Untuk separuh pertama tahun kewangan yang berakhir pada 31 Julai 2024, keuntungan menurun sebanyak 45.1% berbanding separuh pertama tahun kewangan sebelumnya disebabkan oleh margin keuntungan yang lebih rendah akibat persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif dan campuran produk dan penyelesaian yang berbeza.
"Sebahagian besar pendapatan Kumpulan terus disumbangkan oleh Singapura, China, dan Filipina, dengan jumlah RM116.962 juta (82.9% daripada jumlah pendapatan).
"Mengikut kategori produk, segmen Teknologi Infrastruktur Pengurusan Data Perusahaan (EDM) kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan Kumpulan, dengan jumlah RM107.810 juta atau 76.4% daripada jumlah pendapatan, manakala EDM As-A-Service menyumbang baki," katanya hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kronologi Asia, Edmond Tay dalam kenyataan berasingan berkata, walaupun mencatatkan peningkatan dalam pendapatan, namun margin yang lebih rendah menyebabkan keuntungan untuk suku ini berkurang.
“Di tengah persaingan pasaran yang sengit pada suku kedua, kami memberi tumpuan kepada mencipta nilai untuk pengguna dan meningkatkan kecekapan operasi," katanya.
Menurutnya, dengan pasaran yang semakin stabil dan penambahbaikan dalam kos dan kecekapan operasi yang belum sepenuhnya berkesan, syarikat menjangkakan peningkatan dalam prestasi perniagaan pada separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com








