KUALA LUMPUR 27 Okt – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 bagi membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap pemaju yang disenarai hitam akibat projek perumahan terbengkalai.
Antara tindakan yang boleh diambil termasuk kemungkinan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap pengarah syarikat terlibat.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh keupayaan kementerian untuk bertindak terhadap pemaju tidak bertanggungjawab di samping melindungi kebajikan pembeli rumah yang menjadi mangsa projek terbengkalai.
Menurutnya, di bawah Seksyen 11(1)(ca) Akta Pemajuan Perumahan, menteri boleh mengisytiharkan sesuatu projek sebagai terbengkalai jika ia tidak disiapkan dalam tempoh dipersetujui dan tiada sebarang kerja pembinaan utama dijalankan selama enam bulan berturut-turut.
“Sebaik projek diisytiharkan sebagai terbengkalai, kementerian akan menyenarai hitam pemaju serta ahli lembaga pengarahnya.
“Mereka yang disenarai hitam tidak dibenarkan memohon lesen pembangunan baharu, manakala Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) mereka akan dibekukan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN–Kuala Kedah) mengenai keberkesanan akta berkenaan dalam menangani pemaju bermasalah yang menjadi punca projek perumahan terbengkalai.
Setakat 30 September 2025, sebanyak 107 projek perumahan swasta melibatkan 29,587 unit rumah dan 15,553 pembeli diklasifikasikan sebagai projek terbengkalai di bawah akta tersebut.
Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan bilangan tertinggi dengan 41 projek, diikuti Kelantan sebanyak 16 dan Terengganu 13 projek.
Sejak Disember 2022 hingga September 2025, kerajaan telah memulihkan sebanyak 26 projek terbengkalai di seluruh negara.
Tambahnya, bagi membantu pembeli yang terjejas, KPKT turut memudah cara rundingan antara pemaju asal, pemaju baharu dan institusi kewangan bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk usaha memulihkan bayaran yang telah dibuat oleh pembeli.
“Selain itu, kementerian juga mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai untuk membolehkan pembeli menyusun semula pinjaman dan mendapatkan pengecualian atau pembatalan faedah daripada institusi kewangan.
“Mereka juga boleh memohon pengeluaran kedua Akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau memohon pinjaman perumahan baharu di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA),” katanya. - DagangNews.com








