KUALA LUMPUR 4 Jun – KPJ Healthcare Berhad terus memperkukuh kedudukan dalam sektor penjagaan kesihatan negara apabila memulakan pembinaan kemudahan baharu KPJ Perdana Specialist Hospital.
Kapasiti hospital di Kota Bharu, Kelantan itu ditingkatkan kepada lebih 300 katil menjelang 2030, serta memperluaskan akses kepada rawatan pakar dan perkhidmatan onkologi di wilayah Pantai Timur.
Kemudahan baharu dibangunkan di bawah KPJ Health System (KPJHS) ini dijangka menjadi antara pusat rawatan pakar utama di wilayah itu, khususnya bidang kritikal yang semakin mendapat permintaan.
"Majlis pecah tanah disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama kepimpinan KPJ Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK)," tambahnya.

Sementara itu Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar dalam ucapannya berkata, projek perluasan hospital berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kumpulan penjagaan kesihatan itu.
Apabila siap, fasiliti tambahan tersebut dapat meningkatkan akses luas kepada penjagaan kesihatan berkualiti serta memperkukuh kapasiti rawatan jangka panjang di Kelantan dan Pantai Timur sendiri.
Jelas beliau, akses yang lebih dekat kepada penjagaan kesihatan pakar secara berkualiti semakin penting selaras dengan perubahan keperluan kesihatan masyarakat, khususnya di peringkat wilayah.
"Perluasan ini mencerminkan komitmen berterusan KPJ Healthcare menyokong pembangunan penjagaan kesihatan jangka panjang dan memperkukuhkan kapasiti rawatan masa depan di Pantai Timur," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, permintaan terhadap perkhidmatan onkologi, rawatan lanjutan dan penjagaan khusus terus meningkat pesat.
Ia seiring dengan perkembangan sektor kesihatan negara, manakala projek itu membantu mengurangkan kebergantungan pesakit mendapatkan rawatan khusus di luar wilayah, dengan rawatan lebih baik.
Kemudahan baharu itu merangkumi lebih 80 klinik pakar, bilik bedah tambahan, unit rawatan rapi (ICU), perkhidmatan dialisis, kemudahan jagaan harian serta unit onkologi yang khusus untuk rawatan kanser.

"Hospital ini bakal dilengkapi infrastruktur klinikal moden dan sistem digital termasuk teknologi 'wad pintar' meningkatkan kecekapan penyampaian, pemantauan pesakit serta penyelarasan," katanya.
Selain itu tambah kenyataan KPJ Healthcare, elemen cekap tenaga turut akan diintegrasikan dalam pembangunan hospital tersebut sebagai sebahagian daripada komitmen kemampanan kumpulan.
Ujarnya, KPJ Perdana yang ditubuhkan pada 2002, ketika ini mempunyai sejumlah 151 katil dan menyediakan pelbagai perkhidmatan pakar termasuk kardiologi, ortopedik, pediatrik dan pembedahan.
Perluasan baharu itu merupakan sebahagian strategi KPJHS memperkukuh penyampaian lebih bersepadu dan bersedia menghadapi keperluan masa depan sejajar pertumbuhan permintaan perkhidmatan. - DagangNews.com








