KUALA LUMPUR 6 Mac - KPJ Healthcare Berhad melancarkan Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok pertama di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2), menandakan CoE kedua ditubuhkan di bawah KPJ Health System (KPJHS) serta memperluas keupayaan khusus Kumpulan dalam rawatan neurologi kompleks dan strok.
Penubuhan Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok ini memajukan KPJHS dengan meluaskan laluan klinikal berstruktur kepada kepakaran tinggi yang memerlukan koordinasi pantas merentasi penjagaan kecemasan, pengimejan, unit rawatan rapi dan rehabilitasi.
Perkembangan ini mencerminkan fokus berterusan Kumpulan untuk memperkukuh perkhidmatan khusus sambil mengekalkan standard penjagaan konsisten di seluruh rangkaiannya.
Pusat ini menggabungkan pasukan pelbagai disiplin dalam bidang neurologi, pembedahan saraf, perubatan kecemasan, radiologi, rawatan rapi dan rehabilitasi dalam sistem bersepadu yang direka untuk kecemasan neurologi.
Model integrasi ini membolehkan keputusan lebih pantas, intervensi tepat pada masanya dan kesinambungan penjagaan sepanjang peringkat kritikal rawatan strok dan pemulihan.

Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) serta Pengerusi KPJ Healthcare University berkata, “Penubuhan Pusat Kecemerlangan ini menandakan satu langkah penting dalam perjalanan kami membina KPJ Health System sebagai ekosistem bersepadu sepenuhnya yang menghubungkan hospital, pendidikan dan penyelidikan".
"Dengan memperkukuh protokol klinikal, memajukan inovasi dan sentiasa membandingkan diri dengan peneraju global, kami membina sistem yang memberikan hasil lebih baik untuk pesakit sambil bersedia menghadapi masa depan.
"Aspirasi kami jelas: memastikan KPJ Healthcare bukan sahaja menepati standard global, tetapi secara berterusan menempatkan diri di kalangan institusi yang membentuk masa depan penjagaan kesihatan di rantau ini,” kata beliau pada majlis perasmian pusat tersebut pada Khamis.
Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Pusat ini mengukuhkan keupayaan operasi kami dalam mengurus kecemasan neurologi kompleks dalam rangka sistem berkoordinasi".
"Dengan menyelaraskan kemudahan khusus, kepakaran klinikal dan tadbir urus berstruktur, kami memastikan intervensi tepat pada masanya dan kesinambungan penjagaan selaras dengan komitmen kami untuk Care for Life,” kata beliau.
Laluan Stroke Bersepadu dan Intervensi Hiperakut
CoE DSH2 menyediakan laluan strok bersepadu dari pengaktifan segera di Jabatan Kecemasan hingga intervensi hiperakut, rawatan kritikal dan rehabilitasi awal berstruktur.
Pusat ini menyediakan akses 24 jam kepada pengimejan CT dan MRI canggih, serta perkhidmatan mechanical thrombectomy untuk membuang bekuan darah dalam kes strok akut.
DSH2 telah mencapai door-to-needle thrombolysis, rawatan melarutkan bekuan untuk pesakit layak, dalam masa 60 minit melalui aliran kerja hiperakut yang diselaraskan mengikut penanda aras antarabangsa.
Pusat ini menyelaraskan protokol strok dan rawatan kritikalnya berdasarkan perubatan berasaskan bukti dan standard Mayo Clinic Care Network (MCCN), termasuk penggunaan rangka kerja CERTAIN (Checklist for Early Recognition and Treatment of Acute Illness and Injury) untuk menyokong aliran kerja ICU berstruktur dan pemantauan klinikal dalam pengurusan kecemasan neurologi kompleks termasuk strok.

Melalui keahlian MCCN, DSH2 turut mendapat akses kepada sumber perbandingan klinikal dan pertukaran pengetahuan yang menyokong penambahbaikan kualiti berterusan dalam penjagaan strok dan neurologi.
Rehabilitasi dimulakan awal dalam fasa akut dan melibatkan neurorehabilitation yang diperibadikan, disokong oleh penilaian klinikal berstruktur, Makmal Aktiviti Harian (ADL Lab) dan terapi berasaskan robotik untuk menyokong pemulihan fungsi dan kemandirian jangka panjang.
Seorang Stroke Nurse Navigator disediakan sebagai titik koordinasi tunggal untuk pesakit dan keluarga, memastikan kesinambungan dari kemasukan kecemasan hingga rehabilitasi dan susulan selepas keluar hospital.
Kepakaran Subkepakaran dan Teknologi Canggih
Selain rawatan strok akut, Pusat ini memperkukuh keupayaan subkepakaran dalam gangguan pergerakan dan penyakit Parkinson, disokong oleh kepakaran neurologi dan pembedahan saraf serta keupayaan Deep Brain Stimulation pada masa depan.
Ciri SMART Ward dan integrasi digital berasaskan PACS menyokong pemantauan masa nyata, dokumentasi dan koordinasi pelbagai disiplin.
Rangka kerja CoE ini menjadi model rujukan bagi pembangunan perkhidmatan neuro dan strok di seluruh rangkaian KPJ. Selain perkhidmatan klinikal, Pusat ini menyokong inisiatif pendidikan dan latihan berstruktur serta menyumbang kepada penyelidikan klinikal dalam pengurusan neurologi dan strok di bawah KPJHS.
Ia juga menyokong pembangunan berterusan penyelesaian penjagaan strok digital dengan kerjasama KPJ Healthcare University, memperkukuh komitmen Kumpulan untuk memajukan inovasi dalam penjagaan neurologi.
Pelancaran ini merupakan sebahagian daripada peta jalan KPJ Healthcare untuk menubuhkan 15 Pusat Kecemerlangan menjelang 2030 di bawah KPJHS. - DagangNews.com








