KPJ Kuching lakar sejarah lakukan 1,111 pembedahan sendi lutut secara robotik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Kuching lakar sejarah lakukan 1,111 pembedahan sendi lutut secara robotik

KPJ Kuching terus melakar kecemerlangan dalam sektor penjagaan kesihatan di Malaysia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Hospital Pakar KPJ Kuching (KPJ Kuching) berjaya menyempurnakan pembedahan penggantian sendi lutut secara robotik (TKR) yang ke-1,111 baru-baru ini.

 

Pencapaian itu adalah bukti komitmen hospital tersebut terhadap pembedahan berketepatan tinggi dan peningkatan hasil rawatan pesakit.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pembedahan kali ke-1,111 itu membuktikan keunggulan hospital, selaras dengan pengiktirafan terbaharu sebagai Penyedia Perkhidmatan Ortopedik Terbaik Asia-Pasifik 2025 di Anugerah GlobalHealth Asia-Pacific yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

 

Beliau berkata, prosedur robotik itu menggunakan sistem ROSA®️ Knee oleh Zimmer Biomet dan VELYS™️ Robotic-Assisted Solution oleh Johnson & Johnson. 

 

"Sistem ini menyokong ketepatan pembedahan yang lebih tinggi, pemulihan yang  pantas dan mobiliti jangka panjang yang lebih baik, terutamanya bagi pesakit yang mengalami sakit lutut kronik atau osteoartritis lanjutan.

 

"Menerusi KPJ Health System, kami terus memperkasa pelaksanaan program klinikal berimpak tinggi yang menyumbang kepada hasil rawatan pesakit yang lebih baik," katanya.

 

KPJ Kuching terus cemerlang dengan rawatan berteknologi tinggi

 

 

KPJ Kuching terus cemerlang dengan rawatan berteknologi tinggi

 

 

Dengan aspirasi 'Care for Life', KPJ Healthcare juga menegaskan akan kekal komited untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit serta berteraskan teknologi di seluruh hospital rangkaiannya.

 

Sementara itu, pakar bedah ortopedik KPJ Kuching, Dr. Lee Woo Guan berkata, teknologi robotik seperti ROSA dan VELYS membantu pihaknya menjalankan setiap prosedur pembedahan dengan lebih tepat dan konsisten.

 

"Ia antara faktor yang menyumbang kepada hasil rawatan yang lebih baik serta kadar penyembuhan yang lebih cepat bagi pesakit.

 

"Program robotik ini membolehkan KPJ Kuching mencapai kadar komplikasi yang lebih rendah, tempoh kemasukan ke wad hospital yang lebih singkat dan tahap kepuasan pesakit yang lebih tinggi. 

 

"Kini, semakin ramai pesakit memilih prosedur bantuan teknologi robotik sebagai sebahagian daripada rawatan pilihan mereka, khususnya dalam mempertingkatkan mobiliti dan kesihatan sendi lutut untuk jangka masa yang panjang," katanya. - DagangNews.com