Kota Bharu jadi destinasi penerbangan ke-12 Scoot di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kota Bharu jadi destinasi penerbangan ke-12 Scoot di Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt – Syarikat penerbangan tambang rendah Scoot, anak syarikat kepada Singapore Airlines (SIA) memulakan penerbangan sulungnya ke Kota Bharu, Kelantan pada 26 Oktober 2025, menjadikan bandar itu sebagai destinasi ke-12 Scoot di Malaysia.

 

Dengan pelancaran laluan baharu ini, Scoot kini terbang ke 12 destinasi termasuk Ipoh, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Kuching, Kuantan, Pulau Langkawi, Melaka, Miri, Pulau Pinang, Sibu dan Subang.

 

Penerbangan antara Kota Bharu dan Singapura akan beroperasi dua kali seminggu menggunakan pesawat Embraer E190-E2, pesawat baharu dalam armada Scoot yang menawarkan 112 tempat duduk dalam susunan 2-2 serta kabin yang lebih senyap dan tingkap lebih luas bagi keselesaan tambahan penumpang.

 

Bagi meraikan penerbangan sulung itu, Tourism Malaysia bersama beberapa pihak menganjurkan sambutan ketibaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. 

 

Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan berkata, pelancaran laluan baharu ini mengukuhkan kehadiran Scoot di Malaysia serta meningkatkan hubungan udara antara Malaysia dan Singapura.

 

“Kami teruja untuk melancarkan penerbangan ke Kota Bharu, sekaligus memperluas jaringan penerbangan kami di rantau ini. 

 

“Laluan baharu ini menawarkan lebih banyak kemudahan kepada penduduk Pantai Timur untuk ke Singapura dan seterusnya destinasi lain di bawah rangkaian Kumpulan SIA. 

 

“Kami juga akan terus bekerjasama dengan rakan industri dan pelancongan bagi merancakkan kemasukan pelancong ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Tambang sehala kelas ekonomi dari Kota Bharu ke Singapura termasuk cukai bermula daripada RM125 dan boleh ditempah melalui laman web rasmi Scoot, aplikasi mudah alih atau ejen jualan yang dilantik.

 

Scoot, yang memulakan operasi pada 2012 dan bergabung dengan TigerAir Singapore pada 2017, kini mengendalikan armada 50 pesawat termasuk Boeing 787 Dreamliner, Airbus A320 dan Embraer E190-E2. 

 

Syarikat itu menawarkan penerbangan ke lebih 70 destinasi merentasi 18 negara di Asia Pasifik, Timur Tengah dan Eropah.

 

Dalam majlis sambutan tersebut, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) turut menjalin kerjasama untuk memperkasakan warisan seni tradisional rebana ubi melalui inisiatif MyAirportCARES Lestari Seni.

 

Program berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini menumpukan kepada pemeliharaan, pemuliharaan serta penghidupan semula seni warisan rebana ubi yang menjadi simbol identiti budaya negeri Kelantan dan khazanah penting negara.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Rosnan Abdul Rahman berkata, inisiatif MyAirportCARES Lestari Seni itu merupakan program pertama hasil jalinan strategik antara MAHB dan JKKN.

 

“Kita optimis dengan kehadiran lebih ramai pelancong antarabangsa ini dapat mempopularkan keunikan rebana ubi dan warisan budaya tempatan di persada dunia,” katanya. - DagangNews.com