Kos permulaan operasi pusat rawatan tekan hasil Optimax, CGSI ramal untung bersih susut 3.7% bagi FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos permulaan operasi pusat rawatan tekan hasil Optimax, CGSI ramal untung bersih susut 3.7% bagi FY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 JanOptimax Holdings Berhad dijangka berdepan tekanan pendapatan jangka pendek susulan kos permulaan operasi daripada beberapa pusat rawatan baharu yang dibuka kumpulan itu.


Menurut CSG International, perbelanjaan penyelenggaraan yang didapati lebih tinggi itu turut dinilai menjejaskan hasil syarikat penjagaan mata tersebut sepanjang rekod tahun kewangan 2025 (FY25).


Bagaimanapun, firma penyelidikan berkenaan melihat masih ada lagi prospek pemulihan yang kukuh dan perkembangan positif kumpulan tersebut dijangka dapat bermula pada tahun kewangan 2026 (FY26).


"Keuntungan bersih Optimax diunjurkan susut 3.7% bagi FY25 akibat sumbangan lewat daripada segmen estetik serta kos permulaan pusat rawatan ambulatori (ACC) baharu," katanya dalam satu analisis.


Faktor ini tambah CGSI, menjadi isu kritikal yang menekan margin kumpulan dalam tempoh terdekat, tetapi keuntungan diramal berkembang semula pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 16.1%.


Unjuran berkenaan jelas firma tersebut, mampu dicatatkan bagi tempoh FY25 hingga FY27, dipacu oleh faktor sumbangan penuh daripada operasi ACC baharu dan peningkatan kedatangan jumlah pesakit.


Pengurusan Optimax sendiri ketika ditemui pada 7 Januari 2026, memaklumkan sasaran kumpulan untuk meningkatkan lagi kadar penggunaan keseluruhan daripada 60% pada 9M25 kepada 80% menjelang FY27.


"Di Malaysia, segmen pembedahan estetik menunjukkan perkembangan secara positif dengan sasaran syarikat itu mencapai pulang modal untung sebelum cukai (PBT) menjelang akhir FY25," kata CSGI.


Di peringkat serantau, ACC pertama Optimax di Kemboja yang mula beroperasi pada 2QFY24 mencatat pertumbuhan hasil 21% tahun ke tahun bagi 9M25 dan telah mencapai pulang modal PBT pada 2Q25.


Sementara itu, pembinaan ACC di Jakarta, Indonesia berjalan mengikut jadual dengan operasi disasar bermula FY27, manakala peluasan ke Vietnam dibuat berhati-hati dengan fokus kepada pemasaran.


CGSI turut menjangkakan ACC baharu berpotensi menyumbang keuntungan penuh kepada Optimax bermula FY26, disokong oleh pertumbuhan volum pesakit serta peningkatan sumbangan segmen estetik.


"Berdasarkan situasi semasa itu, kami terus mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham kumpulan ini dengan harga sasaran juga tidak berubah pada 75 sen sesaham," jelas firma penyelidikan itu.


Penilaian kekal menarik dengan saham diniagakan pada 19.8 kali nisbah harga kepada pendapatan FY26, namun, risiko penurunan termasuk kelewatan pelaksanaan perluasan. - DagangNews.com