KUALA LUMPUR 22 Sept - Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) berkata pelaksanaan penstrukturan semula pembiayaan aset tenaga boleh baharu Cypark Resources Bhd yang menurunkan kos pinjaman kepada 4.8%–5% berbanding 6.5%–6.8% sebelum ini dijangka membantu menampan kerugian berterusan ketika syarikat itu berdepan cabaran pendapatan jangka pendek.
Cypark baru-baru ini memperoleh kemudahan pembiayaan Islam bernilai RM1.3 bilion daripada MBSB Bank Bhd bagi membiayai semula aset solar dan loji jana kuasa daripada sisa (WTE).
Maybank IB menegaskan langkah itu memberi ruang kelegaan kepada syarikat dalam usaha menambah baik prospek keuntungan.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026 (FY26), firma penyelidikan itu menjangkakan Cypark mencatatkan kerugian bersih teras RM69.5 juta, berbanding unjuran sebelumnya keuntungan RM4.7 juta.
Semakan semula ini berpunca daripada pengiktirafan hasil kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang lebih perlahan serta pemulihan pendapatan WTE yang lebih beransur-ansur.
Maybank IB menambah, prospek pertumbuhan syarikat masih disokong oleh buku tender bernilai RM3.5 bilion, dengan RM2.2 bilion disasarkan untuk penukaran, termasuk projek baharu LSS Petra 5+ berkapasiti 100MW.
“Unjuran pendapatan bagi FY27 dan FY28 kekal tidak berubah, didorong oleh peningkatan hasil berulang daripada projek solar berskala besar tiga (LSS3) dan sumbangan WTE yang semakin normal,” katanya.
Walaupun semakan pendapatan dibuat, Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap saham Cypark, namun menurunkan harga sasaran kepada 88 sen sesaham daripada 94 sen berikutan kadar penukaran buku pesanan EPCC yang lebih perlahan. - DagangNews.com








