KUALA LUMPUR 23 April – United Plantations Bhd mencatatkan prestasi bercampur bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 apabila peningkatan hasil tidak dapat mengimbangi tekanan kos yang semakin tinggi, sekali gus menjejaskan margin keuntungan kumpulan.
Syarikat perladangan itu memaklumkan kos baja, bahan api, buruh serta input operasi lain terus meningkat dan memberi tekanan kepada keseluruhan industri minyak sawit ketika ini.
Dalam masa sama, syarikat menjangkakan potensi kenaikan harga minyak sawit mungkin terhad berikutan peningkatan pengeluaran bermusim selain jangkaan pengurangan minat pembelian daripada pasaran utama seperti India dan China.
Menurutnya, harga komoditi yang kekal tinggi digabungkan dengan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi global berpotensi membawa kepada rasionalisasi permintaan, khususnya dalam sektor penggunaan makanan.
“Walaupun harga minyak sawit telah menyusut daripada paras tertinggi sebelum ini, ia masih mencatatkan peningkatan hampir 13% setakat tahun ini, disokong oleh permintaan berterusan termasuk daripada sektor biodiesel.
“Selain itu, usaha meningkatkan campuran metil ester berasaskan sawit dalam biodiesel susulan kenaikan harga minyak mentah turut menyokong paras harga komoditi tersebut,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2026, keuntungan bersih kumpulan susut 1.6% kepada RM160.66 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan itu sebahagiannya disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada usaha sama Unifuji Sdn Bhd yang terkesan oleh kerugian lindung nilai pertukaran asing.
Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat 24% kepada RM640.58 juta dipacu oleh pertambahan pengeluaran serta peningkatan jumlah jualan produk penapisan.
Dari segi operasi, pengeluaran minyak sawit mentah meningkat 4.5% manakala pengeluaran isirung sawit berkembang 10.7%, namun purata harga jualan masing-masing mencatatkan penurunan.
Sehubungan itu, United Plantations akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti ladang, kawalan kos serta pelaksanaan inisiatif mekanisasi dan penanaman semula bagi memastikan daya tahan operasi kekal kukuh dalam persekitaran mencabar. - DagangNews.com








