KUALA LUMPUR 13 April – Cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching dianggarkan menelan kos antara AS$3 bilion hingga AS$3.5 bilion, bergantung kepada keperluan teknikal serta cabaran geografi di lokasi dicadangkan, Tanjung Embang, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan penilaian industri, anggaran kos asas bagi projek itu sekitar AS$2.8 bilion, sejajar dengan penanda aras Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) Asia-Pasifik yang meletakkan pelaburan lapangan terbang baharu pada purata AS$185 bagi setiap kapasiti penumpang tahunan.
"Namun, faktor tambahan seperti keadaan tanah pesisir yang rendah, keperluan penambahbaikan tanah serta pembangunan infrastruktur akses dijangka meningkatkan kos keseluruhan projek sehingga 25%," katanya firma itu dalam nota kajian hari ini.
Menurut Kenanga Research, cadangan lapangan terbang baharu itu juga dilihat sebagai langkah strategik untuk menyokong aspirasi Sarawak menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan serantau dengan kapasiti sehingga 15 juta penumpang setahun.
Sebelum ini, InvestSarawak memaklumkan lapangan terbang tersebut akan dibina dengan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar sebagai contoh, dengan penglibatan perunding yang berpengalaman dalam projek berkenaan.
Kenapa Perlu Lapangan Terbang Baharu?
Menurut Kenanga Research, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ketika ini telah mengendalikan 5.4 juta penumpang pada 2024, melebihi kapasiti reka bentuk terminal sebanyak 5 juta penumpang setahun.
Walaupun landasan tunggal sedia ada masih mampu menyokong operasi pesawat berbadan lebar dan penerbangan jarak jauh, kekangan utama kini tertumpu kepada kapasiti terminal.
Firma penyelidikan itu berkata, naik taraf terminal seperti penambahan ruang lantai, lorong pemprosesan serta kemudahan parkir pesawat boleh menyokong pertumbuhan trafik untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
"Bagaimanapun, dalam jangka panjang, konfigurasi landasan tunggal serta kekangan ruang udara berhampiran sempadan Indonesia dijangka menjadi penghalang kepada pengembangan kapasiti secara berterusan," katanya.

Tanjung Embang Lokasi Strategik
Menurut Kenanga Research, cadangan pembangunan lapangan terbang dan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan baharu bagi Sarawak.
Salah satu faktor utama Tanjung Embang dipilih sebagai lokasi lapangan terbang baharu ialah kedudukannya yang lebih ke barat Kuching.
Ini membolehkan orientasi landasan yang lebih fleksibel serta ruang udara yang lebih bebas dan berdaulat untuk Malaysia.
"Sebagai perbandingan, operasi lapangan terbang sedia ada terkesan kerana kedudukannya dekat dengan ruang udara Indonesia (Kalimantan Barat), yang menimbulkan cabaran penyelarasan dan had fleksibiliti penggunaan landasan dalam keadaan angin tertentu.
"Dengan lokasi baharu yang lebih hampir ke pesisir, perancang mendapat ruang udara yang lebih bersih serta peluang membangunkan landasan selari dan pendekatan bebas, sekali gus meningkatkan kapasiti jangka panjang serta memudahkan operasi penerbangan," katanya.
Cabaran dan Kelebihan Geografi
Menurut Kenanga Research, berdasarkan kajian dan semakan, Tanjung Embang terdiri daripada tanah rata pesisir yang sesuai untuk pembinaan landasan panjang, sekali gus berpotensi mengurangkan kos kerja tanah berbanding kawasan berbukit.
Kawasan ini juga mempunyai keluasan tanah yang besar dan kurang pembangunan, memudahkan penyediaan zon keselamatan dan koridor bunyi berbanding pengembangan lapangan terbang sedia ada.
Selain itu, lokasi pesisir membolehkan pesawat mendarat dari arah laut, sekali gus mengurangkan impak bunyi ke atas kawasan kediaman padat.
Namun begitu, terdapat beberapa cabaran seperti keadaan tanah yang berkemungkinan terdiri daripada gambut atau tanah liat marin, yang memerlukan kerja penambahbaikan seperti pra-beban, saliran menegak dan cerucuk.
Kawasan pesisir yang rendah juga mungkin memerlukan reka bentuk platform tinggi bagi mengurangkan risiko banjir.
"Walaupun cabaran kejuruteraan ini boleh diatasi, ia berkemungkinan meningkatkan kos keseluruhan projek. Oleh itu, unjuran pertumbuhan trafik udara jangka panjang di Kuching menjadi faktor penting dalam menjustifikasikan pelaburan bagi lapangan terbang baharu ini," katanya. - DagangNews.com








