Kos binaan naik sehingga 1.1% pada Ogos susulan harga simen, pasir meningkat - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos binaan naik sehingga 1.1% pada Ogos susulan harga simen, pasir meningkat - DOSM

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 11 Sept – Indeks harga seunit simen meningkat antara 0.1 peratus hingga 1.1 peratus pada Ogos 2025 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan tertinggi dicatatkan di Pahang (1.1 peratus), diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.0 peratus) serta Miri (0.6 peratus).

 

Beliau turut memaklumkan indeks harga seunit pasir menunjukkan sedikit peningkatan pada Ogos 2025, dengan perubahan bulanan antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus.

 

“Kenaikan tertinggi direkodkan di Perak sebanyak 0.5 peratus,” kata Mohd Uzir dalam kenyataan berhubung Laporan Pelepasan Khas Bahan Binaan dan Kerja Struktur, Ogos 2025 hari ini.

 

 

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
                                Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

 


Sementara itu, beliau berkata indeks harga seunit besi (rebar) kekal tidak berubah di semua kawasan kecuali sedikit penurunan di Terengganu dan Kelantan (-1.0 peratus), diikuti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta Sibu (-0.3 peratus).

 

Perbandingan tahunan bagi tempoh Ogos 2024 hingga Ogos 2025 menunjukkan indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara -4.6 peratus hingga -12.9 peratus di kebanyakan kawasan di Malaysia.

 

Penurunan tertinggi dicatatkan di Perak (-12.9 peratus).

 

Namun begitu, perbandingan tahunan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.3 peratus hingga 3.9 peratus pada Ogos 2025 di Malaysia.

 

Beliau turut menjelaskan harga purata seunit besi, merangkumi besi bulat lembut dan Mycon 60 bar bergelung tegangan tinggi, meningkat sedikit (0.1 peratus) dengan harga purata RM3,491.35 satu tan berbanding bulan sebelumnya (Julai 2025: RM3,488.65 satu tan).

 

Sementara itu, harga purata simen Portland Biasa juga mencatatkan sedikit kenaikan (0.1 peratus) dengan harga purata RM23.85 bagi setiap beg 50 kg berbanding Julai 2025 (RM23.80 bagi setiap beg 50 kg).

 

Perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan (BCI) bagi besi tetulang untuk semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia turut merekodkan peningkatan kecil antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus pada Ogos 2025 berbanding bulan sebelumnya.

 

Kenaikan BCI bagi besi tersebut direkodkan hampir semua kategori bangunan kecuali di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

 

Sementara itu, BCI bagi besi tetulang di Sabah juga mencatatkan peningkatan kecil antara 0.1 peratus hingga 0.4 peratus untuk semua kategori bangunan pada Ogos 2025 berbanding bulan sebelumnya.

 

Dalam tempoh sama, BCI bagi besi tetulang di Sarawak turut merekodkan kenaikan kecil antara 0.1 peratus hingga 0.3 peratus untuk semua kategori bangunan.

 

Dari perspektif pasaran komoditi, berdasarkan laporan Shanghai Metal Market bertarikh 30 Ogos 2025, pasaran besi tetulang Malaysia kekal kukuh dengan harga menunjukkan trend stabil ke arah lebih tinggi.

 

Menurut DOSM, pusingan sokongan harga ini didorong oleh peningkatan ketara kos pengeluaran serta struktur bekalan yang semakin ketat, sekali gus mendorong paras pasaran keseluruhan meningkat. - DagangNews.com