Kos baja, logistik tinggi diramal jejaskan hasil Ancom Nylex pada suku keempat 2026 — penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos baja, logistik tinggi diramal jejaskan hasil Ancom Nylex pada suku keempat 2026 — penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 April — Peningkatan kos baja dan logistik susulan ketidaktentuan global dijangka menekan hasil Ancom Nylex Berhad pada suku keempat 2026, meskipun prospek pertumbuhan positif.


Penganalisis berpandangan tekanan tersebut, termasuk kenaikan caj penghantaran akibat konflik Timur Tengah, boleh menjejaskan keuntungan jangka pendek walaupun permintaan global meningkat.


Hong Leong Investment Bank (HLIB) namun mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM1.13 sesaham, dipacu pemangkin pertumbuhan daripada kelulusan penggunaan racun rumpai di Brazil.


"Perkembangan ini berpotensi menggandakan kapasiti sedia ada dan meningkatkan volum jualan Ancom antara 20% hingga 30% dalam FY26 hingga FY27," jelas firma penyelidikan itu dalam analisisnya.


Kitaran penggunaan racun rumpai bagi tanaman kacang soya di negara itu ujarnya, memberi peluang besar kepada syarikat tersebut, dengan tempahan dijangka bermula seawal April hingga Jun 2026.


Sehubungan itu, HLIB turut menjangkakan prestasi suku keempat 2026 akan disokong harga jualan purata lebih tinggi dalam segmen bahan kimia industri, sejajar kenaikan harga minyak mentah.


Bagaimanapun, firma tersebut memberi amaran mengenai isu kenaikan harga baja yang ketara di pasaran antarabangsa boleh menjejaskan permintaan racun rumpai termasuk ke atas Ancom sendiri.

 

Ancom_DagangNews



Sementara itu, Kenanga Research pula menyatakan walaupun prestasi semasa sederhana, keuntungan kumpulan tersebut masih kukuh dengan peningkatan 36% tahun ke tahun (YoY) kepada RM62.3 juta.


"Kami menjangkakan margin pada suku keempat kumpulan ini mungkin terjejas disebabkan kos logistik lebih tinggi serta gangguan dalam rangkaian pengedaran racun rumpai di pasaran Brazil," jelasnya.


Selain itu jelas firma penyelidikan berkenaan, tekanan kos penghantaran dan gangguan operasi yang masih berterusan dijangka memberi kesan secara ketara kepada margin Ancom dalam jangka pendek.


Pada masa sama tambah Kenanga, segmen bahan kimia industri namun diramal terus menyokong prestasi, manakala eksport bahan pengawet kayu kekal stabil disokong kontrak jangka panjang sehingga 2027.


Secara keseluruhan katanya, kumpulan berkenaan dijangka mendapat manfaat yang besar hasil daripada peningkatan permintaan global, khususnya dalam sektor pertanian di Brazil dan luas untuk diteroka.


Ia turut memberi amaran risiko kenaikan kos input, tekanan logistik serta turun naik mata wang yang kekal menjadi faktor utama boleh mempengaruhi prestasi kewangan dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com