Koperasi Siswazah Bangi Berhad nafi penyelewengan dana yuran, tegaskan kutipan mengikut perjanjian UKM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Koperasi Siswazah Bangi Berhad nafi penyelewengan dana yuran, tegaskan kutipan mengikut perjanjian UKM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb – Koperasi Siswazah Bangi Berhad menafikan sebarang unsur penyelewengan atau kehilangan dana yuran pelajar, sebaliknya menegaskan keseluruhan kutipan telah disalurkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengikut ketetapan perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua pihak.

 

Koperasi itu juga memberi jaminan tiada sebarang kehilangan dana hasil kutipan yuran pelajar berlaku dan memaklumkan kerjasama yang bermula sejak tahun 2017 itu telah menjana hasil sebanyak RM90.56 juta kepada pihak UKM.

 

Pengurus koperasi tersebut, Dr. Muhammad Hafiz Md Saad berkata semua kutipan hasil adalah mengikut terma perjanjian yang ditandatangani bersama bagi Program Sarjana Pendidikan (SPEND) (ditandatangani pada 1 Februari 2017) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) (ditandatangani pada 15 Jun 2023). 

 

Beliau berkata Perjanjian Program Diploma Pendidikan (DPLI) telah mendapat kelulusan Mesyuarat Pengurusan Universiti (MPU), Senat, Jawatankuasa Tetap Kewangan serta Pejabat Penasihat Undang-Undang UKM. 

 

"Mengenai isu kelulusan Menteri Kewangan pula, kami menegaskan prosedur tersebut adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya pihak UKM selaku pemilik program dan penyedia dokumen perjanjian. Ia seharusnya dibetulkan pada Perjanjian Pertama pada tahun 2017.

 

"Agihan yuran kepada UKM dibuat setelah pelajar melunaskan bayaran penuh bagi setiap semester. Prosedur pembayaran secara ansuran telah dipersetujui oleh pihak UKM sejak awal pelaksanaan bagi memudahkan pelajar dan telah berjalan lancar tanpa sebarang teguran sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Penjelasan itu dibuat susulan laporan media mengenai dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1/2026 yang menyentuh penglibatan koperasi itu dalam perjanjian bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan Ketua Audit Negara dedah kepincangan kutipan yuran UKMShape

 

Tambahnya, Koperasi Siswazah Bangi Berhad sentiasa proaktif dalam menguruskan tuntutan tunggakan sejak Oktober 2025. 

 

"Pihak UKM memaklumkan bahawa jumlah hutang telah berkurang daripada RM5.32 juta kepada RM3.49 juta setakat 14 Januari 2026.

 

"Namun semakan dan perbincangan lanjut bersama pihak UKM untuk menyelaras dan memperincikan data pelajar masih perlu dibuat kerana terdapat pelbagai kes seperti pelajar menarik diri, diberhentikan atau meninggal dunia. 

 

"Koperasi komited untuk memberikan kerjasama penuh bagi menjelaskan baki hutang (sekiranya ada) setelah semakan dan pengesahan bersama dilakukan secara adil serta telus," katanya.

 

Menyentuh dakwaan konflik kepentingan membabitkan lima pegawai UKM yang menganggotai lembaga koperasi, pihaknya menegaskan individu berkenaan tidak mempunyai kuasa melulus atau membuat keputusan bagi pihak universiti.

 

Beliau berkata jawatan mereka di universiti tidak melibatkan bidang kuasa pentadbiran atau kewangan yang berkaitan dengan koperasi. 

 

"Malah, kesemua individu berkenaan telah menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan sekiranya tidak mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan.

 

"Koperasi Siswazah Bangi Berhad akan terus memastikan segala operasi dijalankan mengikut prinsip tadbir urus yang baik demi menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat. 

 

 

 

 

 

"Pada masa yang sama, pemantauan rapi terhadap sebarang fitnah dan tohmahan palsu terutamanya di media sosial sedang dilakukan dan tindakan perundangan akan diambil tanpa teragak-agak terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang tidak benar," katanya.

 

Tambahnya, sebagai koperasi yang dianggotai oleh alumni UKM dan graduan IPT, pihaknya komited untuk memperkukuh jaringan profesional serta ekonomi ahli melalui peluang kerjaya dan perkhidmatan pendidikan - DagangNews.com