KUALA LUMPUR 26 Jan – Kerajaan akan mewajibkan semua konsesi penyelenggaraan jalan melantik juruaudit luar di bawah terma konsesi baharu, sebagai langkah meningkatkan kualiti kerja serta memperkukuh ketelusan kewangan dalam pelaksanaan penyelenggaraan infrastruktur jalan negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keperluan baharu itu diperkenalkan susulan kelemahan dalam terma konsesi terdahulu yang tidak menyediakan mekanisme pemantauan bebas, selain pemantauan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsesi sendiri.
“Dengan keperluan baharu ini, kerajaan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada laporan dalaman. Ini merupakan penambahbaikan besar bagi memastikan kualiti jalan benar-benar memenuhi standard yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurut beliau, tempoh interim selama satu tahun diberikan bagi membolehkan konsesi membuat pemilihan dan pelantikan juruaudit luar, sambil menegaskan kerajaan bergerak pantas untuk melaksanakan langkah berkenaan demi meningkatkan akauntabiliti dan tadbir urus sektor penyelenggaraan jalan.
Nanta berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah serta penyerahan siap Projek Jambatan Sungai Pontian Kecil, bernilai RM23.12 juta.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Roslan Ismail.
Dalam perkembangan berkaitan, Nanta berkata, Projek Naik Taraf dan Pelebaran Jambatan Pontian Besar (FT005) yang bermula pada 13 Januari dijangka siap pada Januari 2029, dengan kos RM38.04 juta.
Projek berkenaan melibatkan pelebaran jambatan daripada dua lorong kepada empat lorong, selain naik taraf persimpangan sedia ada bagi meningkatkan aliran trafik, keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.
Pada majlis sama, projek FT005/053/50 Penggantian Jambatan Sungai Pontian Kecil turut diserahkan secara rasmi.
Projek bernilai RM23.13 juta itu merupakan sebahagian daripada Program Penggantian Jambatan Sempit dan Uzur di Johor di bawah Pelan Pelaksanaan Bergulir Keempat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).
Dilaksanakan secara dalaman oleh JKR, projek tersebut bermula pada 31 Januari 2022 dan berjaya disiapkan pada 25 Januari 2026, sekali gus menambah baik kecekapan jaringan jalan serta keselamatan pengguna di kawasan berkenaan. - BERNAMA








