Kontraktor LRT3 berdepan denda RM2.73 juta sehari jika lewat siapkan projek — Loke | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontraktor LRT3 berdepan denda RM2.73 juta sehari jika lewat siapkan projek — Loke

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Feb — Kontraktor utama projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) bakal dikenakan bayaran ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) sebanyak RM2.73 juta sehari sekiranya gagal menyiapkan projek mengikut jadual, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

 

Beliau berkata, kadar itu bersamaan 0.024% daripada nilai keseluruhan kontrak dan bertujuan memastikan kontraktor memikul tanggungjawab penuh terhadap sebarang kelewatan projek yang turut dikenali sebagai Laluan Shah Alam.

 

“Jumlah keseluruhan pampasan hanya dapat ditentukan selepas projek disiapkan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

 

Kontraktor utama projek berkenaan ialah Setia Utama LRT3 Sdn Bhd, anak syarikat Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB).

 

Laluan sepanjang 37 kilometer itu menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya ke Johan Setia, Klang dan sebelum ini beberapa kali mengalami penangguhan tarikh operasi.

 

Ia pada asalnya dijadualkan beroperasi pada Julai 2025 sebelum ditunda ke Disember 2025 dan kini disasarkan siap menjelang Jun 2026.

 

Projek yang dilancarkan pada 2016 dengan kos awal RM9 bilion menyaksikan semakan besar pada 2018 selepas kerajaan ketika itu mendedahkan kos sebenar mencecah RM31.7 bilion berikutan komponen kos tambahan termasuk yuran rakan pelaksana projek, perundingan dan faedah pembinaan.

 

Bagi mengawal perbelanjaan, skop projek disemak dengan menangguhkan lima stesen dan membatalkan satu stesen, sekali gus menurunkan kos kepada RM16.63 bilion.

 

Bagaimanapun, pentadbiran semasa kemudian mengembalikan semula lima stesen — Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik — yang menambah RM5.3 bilion kepada kos keseluruhan, menjadikan jumlah projek kini RM21.93 bilion. Laluan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 67,000 penumpang sehari.

 

Loke menafikan semakan skop pada 2018 menjadi punca kelewatan, sebaliknya menjelaskan isu yang timbul adalah bersifat teknikal, khususnya melibatkan ujian sistem isyarat dan proses “fault-free run” semasa peringkat pengujian dan pentauliahan.

 

Setakat ini, 14 daripada 22 set tren telah melengkapkan ujian, manakala baki lapan lagi masih menjalani proses sama berikutan beberapa isu teknikal yang belum diselesaikan.

 

Beliau menegaskan kementerian komited mempercepatkan proses ujian bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual atau lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko penalti kewangan kepada kontraktor. - DagangNews.com