Kontrak terkini diraih Exsim Hospitality diramal sumbang RM3.3 juta untung kasar - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak terkini diraih Exsim Hospitality diramal sumbang RM3.3 juta untung kasar - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Jan - Kontrak hiasan dalaman bernilai RM21.9 juta yang dimenangi Exsim Hospitality Berhad diramal menyumbang keuntungan kasar sekitar RM3.3 juta sepanjang tempoh pelaksanaannya.


Menurut TA Securities, tender tersebut, yang diterima melalui anak syarikat milik penuhnya, Exsim Concepto Sdn Bhd, diperoleh daripada HAB Construction Sdn Bhd bagi pembangunan komersial bercampur.


Tambah firma penyelidikan tersebut, ia melibatkan kerja-kerja pembinaan setinggi 50 tingkat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, dan dijangka mampu disiapakan dalam tempoh 40 bulan sahaja.


"Dengan penggabungan kontrak terbaharu ini, jumlah tempahan kerja terkumpul Exsim Hospitality setakat tahun ini sudah meningkat kepada RM48.8 juta," jelasnya dalam satu nota kajian hari ini.


Sementara baki tempahan keseluruhan kini kata TA Securities, sekitar RM200.1 juta, yang memberikan kira-kira 1.4 kali perlindungan ke atas anggaran hasil segmen pembinaan kumpulan sepanjang FY25.


Artikel berkaitan: Exsim Hospitality raih kontrak kemasan dalaman RM21.9 juta bagi pembangunan komersial 50 tingkat


Firma tersebut menjangkakan kontrak ini, dengan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar 15%, akan memperkukuhkan lagi tahap keterlihatan pendapatan jangka pendek kepada syarikat berkenaan.


Walaupun kadar kemenangan projek baharu diramal lebih perlahan daripada jangkaan awam, firma penyelidikan itu yakin Exsim Hospitality mampu mencapai sasaran baki projek ditetapkan bagi FY26.


“Kumpulan ini berada dalam kedudukan strategik sebagai kontraktor hiasan dalaman pilihan dalam senarai pembangunan luas, menyokong aliran projek dengan risiko tender rendah,” kata TA Securities.


Bagaimanapun jelasnya, menerusi kontrak terkini itu, sasaran keuntungan dan tempahan projek FY26 adalah kekal tidak berubah, dengan penilaian saham syarikat masih mengekalkan lagi saranan 'beli'.


Selain itu, ia turut tidak mengubah harga sasaran (TP) 30 sen, yang berlandaskan unjuran 15 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) untuk segmen reka bentuk dan 18 kali P/E bagi divisyen hospitaliti.


TA Securities menekankan kekuatan Exsim Hospitality  termasuk kedudukannya sebagai penerima manfaat strategik daripada strategi hibrid serta potensi nilai masa depan yang terjamin. - DagangNews.com