KUALA LUMPUR 19 Mei - Kontrak baharu WCT Holdings Bhd di Taiwan dijangka meningkatkan kemasukan aliran projek baharu, sekali gus membantu keterlihatan pendapatan jangka sederhana kumpulan.
Selain itu penganalisis pasaran berpandangan kontrak berkenaan mampu mengukuhkan kedudukan kumpulan itu dalam pasaran pembinaan infrastruktur di Taiwan walaupun nilainya hanya bersaiz sederhana.
MBSB Research berkata, kejayaan memperoleh projek tersebut membuktikan keupayaan WCT untuk terus bersaing dan mendapatkan kerja baharu dalam persekitaran bidaan yang semakin kompetitif, sekali gus mengekalkan kehadirannya di pasaran luar negara.
Tambahnya, pengembangan operasi di Taiwan ini juga mencerminkan usaha berterusan kumpulan dalam memperkukuh pendedahan antarabangsa, meskipun saiz kontrak yang diperoleh masih belum signifikan untuk memberi lonjakan besar kepada pertumbuhan keseluruhan kumpulan.
"Kemasukan kontrak baharu ini turut meningkatkan jumlah buku tempahan belum dilaksanakan WCT kepada kira-kira RM2.29 bilion, yang memberi keterlihatan pendapatan sehingga sekurang-kurangnya tahun kewangan 2027," katanya dalam nota kajian hari ini.
MBSB Research menambah, keupayaan WCT mengekalkan aliran projek baharu, termasuk di pasaran luar negara, dilihat penting bagi menyokong kestabilan buku pesanan kumpulan serta keterlihatan pendapatan jangka sederhana.
Sehubungan itu, projek di Taiwan tersebut dijangka memberi sumbangan secara berperingkat apabila fasa pembinaan bermula, sekali gus menambah kepada portfolio projek infrastruktur antarabangsa WCT yang sedia ada.
MBSB Research mengekalkan saranan “BELI” dengan harga sasaran RM0.60, berasaskan unjuran EPS FY26E sebanyak 4.1 sen dan nisbah PER 14 kali, dengan jangkaan peningkatan prestasi pendapatan secara berperingkat pada tahun-tahun akan datang.
Sementara itu CGS International (CGSI) berpandangan kemenangan ini adalah positif memandangkan cabaran utama WCT sebelum ini adalah dalam perniagaan pembinaan yang mencatatkan kemenangan projek yang tidak konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, WCT menetapkan sasaran perolehan kontrak sebanyak RM2 bilion bagi FY26, sejajar dengan unjuran firma.
Pada FY25, syarikat hanya memperoleh satu projek iaitu projek pelebaran jalan PLUS bernilai RM365 juta di Johor.
"Syarikat kini menjadi lebih agresif dalam penyertaan tender pembinaan dengan buku tender sebanyak RM11 bilion (RM10 bilion bagi kerja awam dan infrastruktur, RM1 bilion bagi bangunan) setakat Februari 2026.
"Kami difahamkan WCT sedang membida beberapa projek infrastruktur tempatan dan berpotensi untuk kembali ke pasaran Timur Tengah," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Tambah” terhadap WCT memandangkan penilaian menarik pada 0.2x nilai buku FY26F, iaitu di bawah purata sejak 2015, serta jangkaan peningkatan dalam segmen pembinaan dan hartanah.
Harga sasaran (TP) SOP tidak berubah pada RM1.12 dengan pemangkin penarafan semula ialah prestasi pendapatan yang lebih kukuh dan pertambahan tempahan projek baharu.
Risiko penurunan ialah kelemahan pendapatan daripada bahagian pembinaan serta jualan hartanah yang lebih rendah. - DagangNews.com








