KUALA LUMPUR 15 Mei - EG Industries Bhd terus dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat pusat data kecerdasan buatan (AI) global susulan kejayaan memperoleh kontrak baharu bernilai AS$241.6 juta (RM950 juta), menurut Phillip Capital Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak baharu bernilai hampir AS$242 juta tersebut merupakan peningkatan ketara berbanding kontrak terdahulu bernilai AS$117 juta yang diperoleh pada Julai 2024.
Katanya, situasi itu mengesahkan keupayaan EG Industries yang semakin kukuh dalam segmen modul optikal, khususnya modul 800G berteknologi tinggi yang kini dipacu kitaran pertumbuhan pusat data AI global.
Kontrak tersebut juga hadir serentak dengan peningkatan pengeluaran modul optikal 800G di fasiliti Batu Kawan yang dijangka meningkatkan kadar penggunaan kapasiti melebihi 80% seperti dicatatkan dalam tempoh enam bulan FY2026.
Firma penyelidikan itu menganggarkan sumbangan hasil daripada segmen modul optikal akan meningkat kepada kira-kira 20% daripada hasil FY2027 berbanding hanya 4% pada FY2025.
“Peningkatan campuran produk modul 800G juga dijangka menyokong pengembangan margin keuntungan dan memacu pertumbuhan pendapatan FY2027 sebanyak 29%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kontrak pembelian RM950 juta itu diterima daripada pelanggan utama syarikat bagi pembekalan modul optikal berkelajuan tinggi 800G serta produk akses tanpa wayar.
Pelanggan berkenaan merupakan penyedia penyelesaian rangkaian optikal yang mempunyai pendedahan kepada modul optikal berkelajuan tinggi bagi aplikasi sambungan pusat data.
Pesanan tersebut akan dipenuhi secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan dengan penghantaran dijadual bermula pada suku keempat FY2026.
Susulan perkembangan itu, Phillip Capital menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY2027 hingga FY2028 antara 2% hingga 3% selepas mengambil kira andaian tempahan lebih tinggi daripada jangkaan bagi modul optikal 800G.
Pada masa sama, gandaan PE sasaran turut dinaikkan kepada 24 kali daripada 20 kali sebelum ini, mencerminkan penilaian semula sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) global yang mempunyai pendedahan kepada pusat data AI.
“Penilaian syarikat EMS global yang terlibat dalam rantaian pusat data AI telah berkembang kira-kira 30% sejak awal tahun ini.
“Sehubungan itu, kami menaikkan harga sasaran 12 bulan kepada RM2.10 daripada RM1.70 dan mengekalkan saranan BUY terhadap saham EG Industries,” katanya.
Bagaimanapun, antara risiko penurunan terhadap prospek syarikat termasuk kehilangan pelanggan utama, kelewatan peningkatan pengeluaran produk serta tempahan pelanggan yang lebih lemah daripada jangkaan. - DagangNews.com








