Kontrak pusat data RM56.7 juta kukuhkan prospek HE Group, kurangkan kebergantungan kepada semikonduktor - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak pusat data RM56.7 juta kukuhkan prospek HE Group, kurangkan kebergantungan kepada semikonduktor - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kejayaan HE Group Bhd memperoleh kontrak berkaitan pusat data (DC) bernilai RM56.7 juta di Cyberjaya mengukuhkan lagi strategi syarikat untuk keluar daripada bergantung semata-mata kepada sektor semikonduktor.

 

Keadaan it menurut firma penyelidikan Maybank IB mampu mengurangkan kebimbangan pasaran berhubung potensi sekatan Amerika Syarikat terhadap penghantaran cip AI berteknologi tinggi.

 

Kontrak terbaharu iitu juga mengukuhkan lagi naratif transformasi syarikat untuk meluaskan liputan pelanggan akhir melepasi sektor semikonduktor, dengan kini menembusi industri pusat data yang sedang berkembang pesat.

 

Dalam masa sama, pelancaran pemproses AI pertama Malaysia oleh SkyeChip pada 25 Ogos lalu yang menyasarkan pengukuhan keupayaan reka bentuk cip tempatan, dilihat turut membuka peluang kepada HE Group untuk mendapatkan kontrak baharu dalam rantaian industri ini.

 

"Melangkah ke hadapan, HE Group dijangka menikmati prospek penambahan kontrak yang kukuh, disokong oleh tender semasa yang merangkumi sektor semikonduktor, perubatan serta pusat data," kata firma berkenaan. 

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan **BELI** dengan harga sasaran (TP) RM0.48, bersandarkan 15 kali unjuran PER FY26E, selari dengan rakan setara industri.

 

Kontrak pusat kukuhkan buku pesanan

 

Menurut Maybank IB, HE Group telah menerima surat arahan bagi penyediaan perkhidmatan elektrik serta kerja berkaitan untuk sebuah pusat data di Cyberjaya. Kontrak rasmi dijangka dimuktamadkan menjelang suku keempat 2025.

 

Dengan nilai RM56.7 juta, kontrak tersebut bakal memberikan jaminan pendapatan bagi FY25E-26E. 

 

Secara keseluruhan katanya, jumlah kontrak yang dimenangi kini mencecah RM82.7 juta – bersamaan 103% daripada sasaran penambahan pesanan RM80 juta untuk FY25E. 

 

"Buku pesanan belum siap kumpulan kini meningkat kepada sekitar RM90 juta, didorong terutamanya oleh projek berkaitan pusat data," katanya lagi.

 

Maybank IB berkata, HE Group mengekalkan unjuran penambahan kontrak masing-masing sebanyak RM80 juta, RM200 juta dan RM200 juta bagi FY25E/26E/27E tanpa perubahan kepada ramalan semasa.

 

Katanya, dengan tender bernilai RM600 juta yang sedang dibida, kumpulan ini yakin prospek pertumbuhan adalah kukuh meliputi industri semikonduktor, perubatan dan pusat data. 

Selain itu, peluang dalam sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) turut berpotensi menambah baik jaminan pendapatan pada masa depan.

 

Sehubungan itu, prospek pertumbuhan HE Group kekal utuh – justeru, saranan **BELI** dengan harga sasaran RM0.48 dikekalkan. - DagangNews.com