Kontrak NationGate dengan Nvidia tidak dijangka terjejas ekoran kes serbuan SPRM berhubung penyeludupan logam buruk | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak NationGate dengan Nvidia tidak dijangka terjejas ekoran kes serbuan SPRM berhubung penyeludupan logam buruk

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 16 Julai – Serbuan SPRM ke atas anak syarikat NationGate Holdings Bhd berhubung dakwaan penyeludupan logam buruk, tidak dijangka menjejaskan kontraknya dengan Nvidia.

 

NationGate merupakan satu daripada hanya empat rakan kongsi pengeluar peralatan asli (OEM) elit Asia yang bekerjasama dengan Nvidia. 

 

Syarikat itu berperanan sebagai satu-satunya pengilang kontrak Nvidia di Asia Tenggara, khusus dalam pembinaan pelayan kecerdasan buatan (AI) yang dilengkapi unit pemprosesan grafik berprestasi tinggi keluaran gergasi teknologi AS itu, yang kebanyakannya digunakan dalam pusat data berasaskan AI.

 

 

 

 

 

 

Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade, Vincent Lau berkata, “Saya percaya Nvidia telah menjalankan penilaian wajar dan mengenal pasti keupayaan NationGate, sebab itulah NationGate dilantik sejak awal lagi. 

 

“Saya tidak fikir isu ini akan menyebabkan Nvidia beralih kepada rakan kongsi lain,” kata Lau.

 

Berita tersebut mencetuskan aktiviti dagangan tinggi saham NationGate semalam, dengan Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade, Vincent Lau berkata penjualan yang berlaku berkemungkinan didorong oleh reaksi "jual dahulu, tanya kemudian" dalam kalangan pelabur.

 

Beliau berpandangan bahawa harga saham NationGate sepatutnya stabil pada paras semasa.

 

“Prospek pusat data kumpulan kekal utuh buat masa ini, dengan risiko reputasi akibat serbuan SPRM masih terkawal,” kata Lau, sambil menambah bahawa perniagaan teras NationGate “masih kukuh” dan kerjasama syarikat itu dengan Nvidia Corp tidak mungkin terjejas oleh berita serbuan tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM serbu unit NationGate berhubung dakwaan penyeludupan logam sekerap, saham merosot 16%

 

NationGate menutup dagangan hari itu pada RM1.49, turun 12 sen, dengan 160.5 juta saham diniagakan.

 

NationGate menyatakan bahawa ia memandang serius dakwaan tersebut dan telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan kerjasama penuh dengan SPRM serta bagi “memelihara integriti siasatan”.

 

“Syarikat kami kekal komited terhadap piawaian tertinggi tadbir urus korporat, akauntabiliti dan ketelusan,” kata NationGate dalam pemfailan tersebut.

 

NationGate turut memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa lembaga pengarah akan menggunakan segala usaha yang munasabah untuk memastikan operasi perniagaan tidak terjejas, dan langkah sementara yang sesuai telah diambil.

 

“(Logam buruk) hanyalah sebahagian kecil daripada perniagaannya, dan walaupun ia dikeluarkan, ia tidak akan menjejaskan pendapatan NationGate secara ketara,” kata Lau.

 

NationGate, dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia semalam, menyatakan bahawa penguat kuasa antirasuah telah menyerbu premis anak syarikat milik penuhnya, NationGate Solution (M) Sdn Bhd pada hari Isnin, sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan berkaitan dakwaan penyeludupan logam buruk.

 

Dalam laporan tahunan terbaharunya, kumpulan itu memaklumkan bahawa NationGate Solution terlibat dalam pemasangan dan ujian komponen serta produk elektronik.

 

Saham syarikat teknologi yang berpangkalan di Pulau Pinang itu mencatat paras tertinggi RM1.70 dan terendah RM1.35 dalam dagangan intrahari. - DagangNews.com