KUALA LUMPUR 30 Mac – Pameran pertahanan terbesar negara, Defence Services Asia (DSA) 2026 pada April nanti menjadi tumpuan dengan kemungkinan pengumuman beberapa kontrak.
Ini termasuk jangkaan kontrak menaik taraf kenderaan perisai MIFV milik Tentera Darat Malaysia (TDM).
Ia bersandarkan kepada keperluan mendesak TDM untuk memodenkan aset kenderaan perisai berantai K200 MIFV yang kini telah berkhidmat hampir tiga dekad.
Buat permulaan, menaik taraf sejumlah kecil daripada kira-kira 100 buah kenderaan MIFV dilihat memadai melalui fasa berperingkat-peringkat.

Pada usia 30 tahun, platform tersebut dilihat memerlukan program naik taraf menyeluruh bagi memastikan ia terus relevan dalam persekitaran operasi moden.
Keutamaan kepada program naik taraf ini juga dilihat sebagai langkah lebih ekonomi berbanding perolehan kenderaan perisai baharu yang memerlukan peruntukan lebih besar.
Pendekatan ini selari dengan amalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memilih program lanjutan hayat aset (Life Extension Program – LEP) bagi mengoptimumkan kos tanpa menjejaskan keupayaan tempur.
Program naik taraf MIFV ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara syarikat tempatan, Cendana Auto Sdn Bhd, dan syarikat pertahanan Korea Selatan, Hanwha Aerospace.


Kedua-dua pihak sebelum ini telah menandatangani memorandum perjanjian (MoU) sebagai asas kepada pembangunan dan pelaksanaan projek tersebut.
Melalui kerjasama ini, satu prototaip K200 MIFV yang dinaik taraf telah dibangunkan untuk tujuan ujian dan penilaian.
Fokus utama naik taraf melibatkan peningkatan kuasa tembakan, mobiliti, serta ketahanan sistem bagi memanjangkan jangka hayat operasi kenderaan berkenaan.
Selain itu, skop projek turut merangkumi peningkatan keupayaan teknikal secara menyeluruh termasuk integrasi sistem moden yang mampu meningkatkan kecekapan operasi di medan tempur.
Usaha ini dijangka memberi nafas baharu kepada armada MIFV sedia ada, sekali gus memperkukuh keupayaan trup mekanis TDM.



Kelebihan pada varian naik taraf MIFV ini adalah pemasangan antena PILAR V iaitu sistem pengesanan tembakan akustik yang bertindak sebagai pelindung pasif kepada kenderaan perisai.
Ia merupakan sistem pengesan yang boleh mengesan tembakan dan arah tembakan dilepaskan untuk melaksanakan serangan balas selain menjadi pelindung.
Model prototaip MIFV-CH25 ini telah pun dipertontonkan kepada pihak ATM pada Ogos tahun lalu.
Jika kontrak ini dimeterai ketika DSA 2026, ia bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pemodenan aset ketenteraan, malah mengukuhkan kerjasama industri pertahanan antara Malaysia dan Korea Selatan.
Dalam masa sama, inisiatif ini turut membuka peluang kepada pembangunan industri pertahanan tempatan melalui pemindahan teknologi dan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.


Dengan perkembangan ini, DSA 2026 dijangka menjadi platform penting dalam menentukan hala tuju masa depan keupayaan perisai Tentera Darat Malaysia.
ni khususnya dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi cabaran keselamatan semasa dan akan datang.
Jika kontrak naik taraf MIFV ini masih tertangguh, bermakna TDM akan terus menggunakan kenderaan perisai yang ketinggalan teknologi. - DagangNews.com








