KUALA LUMPUR 26 Jan – KKB Engineering Bhd terus mencatat momentum positif apabila kontrak terbaharunya bernilai RM80 juta meningkatkan jumlah kemenangan kontrak setakat tahun ini kepada RM292 juta, menurut RHB Research.
Sementara buku tempahan terkumpul kumpulan kejuruteraan berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, kini mencecah RM347 juta, dengan potensi pertumbuhan kekal memberangsangkan, disokong oleh buku tender semasa syarikat.
Tambahnya, kumpulan kejuruteraan itu mencatatkan buku tender yang dianggarkan sekitar RM600 juta bagi segmen kejuruteraan, pembinaan dan pembuatan, serta antara RM1 bilion bagi kerja-kerja fabrikasi berkaitan minyak dan gas (O&G).
Firma penyelidikan itu menjangkakan sebahagian besar tender berkenaan akan dianugerahkan pada suku pertama dan tempoh seterusnya, dengan kadar kejayaan bidaan O&G KKB dianggarkan sekitar 30% hingga 40%.
Prospek KKB turut disokong oleh peruntukan kerajaan negeri Sarawak sebanyak RM4 bilion bagi menaik taraf infrastruktur air dan mencapai liputan bekalan air bersih sepenuhnya menjelang 2030.
Berdasarkan unjuran RHB Research, kemenangan kontrak baharu KKB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY26) dianggarkan mencecah sekitar RM600 juta.
Firma itu turut mengingatkan projek terakhir yang diperoleh KKB dalam segmen infrastruktur air adalah pada Disember 2024.
Selain Sarawak, RHB Research percaya skim bekalan air yang bakal dilaksanakan di Sabah berpotensi membuka peluang kerja baharu kepada KKB dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan “beli” ke atas saham KKB dengan harga sasaran RM1.42 sesaham, berdasarkan unjuran pendapatan sesaham FY26 dan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sasaran 17 kali, yang tidak berubah.
“Kadar PE sasaran KKB adalah hampir dengan purata 10 tahun Indeks Pengeluaran Perindustrian Bursa Malaysia,” kata RHB Research.
“Penilaian tersebut adalah wajar memandangkan kedudukan KKB yang berpotensi mendapat manfaat daripada peruntukan Sarawak yang lebih tinggi sebanyak RM6 bilion bagi 2026 berbanding RM5.9 bilion pada 2025 di bawah Belanjawan 2026,” menurut firma itu.
Selain pertumbuhan buku pesanan, saham KKB juga menawarkan hasil dividen sekitar 3% bagi FY26. - DagangNews.com








