KUALA LUMPUR 28 Okt - Phillip Capital menjangkakan kontrak baharu Uzma Bhd dengan Philippine Geothermal Production Company (PGPC) akan meningkatkan kadar buku pesanannya sebanyak kepada RM2.9 bilion dan menyumbang kepada pendapatan tahun hingga kini (YTD) syarikat kepada RM690 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak tiga tahun bernilai RM30 juta tersebut melibatkan perkhidmatan penggerudian dan penyimenan untuk medan geotermanya di Filipina yang dijangka tamat pada 31 Ogos 2027.
"Kami menjangkakan kontrak ini menyumbang RM1 juta sepanjang FY25 sehingga FY27, yang merangkumi 2% daripada unjuran pendapatan semasa kami dengan mengandaikan kumpulan menggabungkan margin untung bersih sebanyak 8% hingga 9%.
"Pendapatan kontrak itu mampu menjana RM690 juta, menjadikan buku pesanan terbaharunya kepada RM2.9 bilion setakat 24 Oktober 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Phillip Capital juga menjangkakan momentum aliran kontrak yang kukuh sehingga FY25, disokong oleh buku tendernya berjumlah RM5.5 bilion.
"Kami kekal positif terhadap prospek pendapatan Uzma, didorong oleh peningkatan aktiviti luar pesisir, permulaan projek LSS4, dan keterlihatan buku pesanan yang sihat.
"Kami mengulangi penarafan 'beli' dan harga sasaran RM1.78 berdasarkan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 12 kali pada FY25," katanya. - DagangNews.com








