Konflik Timur Tengah dijangka tingkatkan minat pelabur terhadap saham berkaitan minyak & gas - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Konflik Timur Tengah dijangka tingkatkan minat pelabur terhadap saham berkaitan minyak & gas - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Mac – Sektor minyak dan gas Malaysia dijangka kembali menarik minat pelabur susulan jangkaan harga minyak yang kekal tinggi ekoran daripada konflik di Timur Tengah, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB)

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu dijangka memberi manfaat kepada syarikat yang mempunyai aset huluan secara langsung.

 

Katanya, antara syarikat yang dilihat berpotensi mendapat manfaat ialah Dialog Group Bhd yang dikenal pasti sebagai pilihan utama dalam kalangan pemain industri.

 

Maybank IB menambah, paras harga minyak yang kekal tinggi juga dijangka memberi kelegaan kepada syarikat minyak nasional, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), yang sebelum ini melaporkan penurunan 21"" ujar Maybn% tahun ke tahun dalam pendapatan teras bagi tahun kewangan 2025 kepada RM43.4 bilion.

 

Penurunan tersebut sebahagian besarnya disebabkan harga tenaga yang direalisasikan lebih rendah apabila penanda aras minyak mentah global mencatat purata sekitar AS$68 setong pada 2025 berbanding AS$70 setong pada 2024.

 

"Peningkatan aliran tunai yang dijangka susulan harga minyak lebih stabil akan memberi manfaat kepada syarikat perkhidmatan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan.

 

"Kebanyakan syarikat dalam segmen tersebut mencatatkan penurunan pendapatan tahun ke tahun sepanjang 2025 selepas PETRONAS mengurangkan perbelanjaan modalnya sebanyak 23% berbanding tahun sebelumnya," ujarnya dalam nota penyelidikan mengenai implikasi konflik di Timur Tengah kepada Malaysia.

 

Firma itu menambah, selain itu, perkembangan dalam sektor minyak dan gas juga memberi implikasi kepada kedudukan fiskal negara memandangkan hasil berkaitan petroleum menyumbang kira-kira 17% daripada jumlah hasil kerajaan pada 2025, termasuk dividen PETRONAS sebanyak RM32 bilion.

 

Bagaimanapun, sumbangan itu dijangka berkurangan kepada sekitar 12.5% pada 2026 berdasarkan perancangan dividen PETRONAS yang lebih rendah iaitu sekitar RM20 bilion.

 

Kesan gangguan Selat Hormuz

Menurut Maybank IB serangan berterusan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran telah mencetuskan suasana berhati-hati di pasaran ekuiti global, dengan harga minyak menjadi petunjuk kepada ketakutan pelabur yang bimbang terhadap potensi gangguan ke atas kapal tangki minyak di Selat Hormuz.

 

“OPEC+ telah bertindak menenangkan pasaran dengan mengumumkan peningkatan pengeluaran sebanyak 206,000 tong sehari (bpd). Sebelum ini, kuota pengeluaran telah dinaikkan sebanyak 2.9 juta bpd antara April hingga Disember 2025. 

 

"Dengan kapasiti lebihan semasa terutamanya berada di Arab Saudi, kesan penurunan harga hanya dijangka dirasai apabila kawasan Teluk kembali selamat untuk pelayaran,” jelas firma itu.

 

Syarikat tersenarai Malaysia yang mempunyai pendedahan kepada Timur Tengah termasuk DXN Holdings Bhd, MNRB Holdings Bhd, Wasco Bhd, Malakoff Corp Bhd dan AirAsia X Bhd.

 

Maybank IB juga menyatakan sekiranya akses ke Pelabuhan Jebel Ali di Dubai terputus, volum penghantaran mungkin perlu dialihkan ke pelabuhan di Asia Selatan atau Asia Tenggara, yang boleh menyebabkan kesesakan di hab alternatif tersebut.

 

“Dalam keadaan itu, Westports Holdings Bhd berpotensi mendapat manfaat. Begitu juga, Northeast Group Bhd mungkin mencatat kenaikan kerana menjadi pembekal terbesar komponen laser fotonik kepada pengeluar peralatan tentera bagi sistem pertahanan menentang dron tentera,” kata Maybank IB. - DagangNews.com