Konflik berterusan Timur Tengah dijangka beri tekanan kepada rantaian bekalan negara - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Konflik berterusan Timur Tengah dijangka beri tekanan kepada rantaian bekalan negara - PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 April - Rakyat Malaysia perlu bersedia menghadapi kesan ekonomi daripada konflik berterusan di Timur Tengah yang dijangka memberi tekanan kepada rantaian bekalan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata, meskipun petunjuk ekonomi domestik kekal kukuh, ketidakstabilan geopolitik di rantau Teluk telah menyebabkan peningkatan ketara dalam kos perniagaan, khususnya melibatkan lonjakan kos penghantaran dan kekurangan input pertanian seperti baja.

 

Menurutnya, kos penghantaran melalui laluan perairan utama kini meningkat ke paras luar jangka susulan gangguan di Selat Hormuz.

 

“Kos minyak yang diperoleh sebelum konflik kini tersekat di Hormuz, dan apabila ia dihantar ke Pengerang, kos keseluruhan meningkat dengan ketara.

 

“Ini berikutan premium insurans yang melonjak melebihi 100%, selain caj penghantaran yang turut meningkat,” katanya ketika berucap kepada penjawat awam di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

 

PM9April

 

Dalam perkembangan sama, Anwar turut memberi amaran mengenai kenaikan harga baja dalam tempoh terdekat berikutan kebergantungan tinggi Malaysia terhadap import bahan tersebut.

 

“Saya pergi ke Felda di Pengerang pada Ahad. Untuk bulan ini, harga tidak meningkat dengan ketara, tetapi harga baja akan melonjak kerana peratusan baja import kita terlalu tinggi,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa semua agensi kerajaan dan penjawat awam agar bertindak lebih proaktif dalam menangani impak tersebut, termasuk memperkukuh komunikasi kepada rakyat.

 

“Jangan tunggu sehingga timbul masalah baru terkejut. Kita perlu bijak mengurus cabaran ini dan memastikan rakyat memahami situasi semasa,” jelasnya.

 

Beliau turut menyeru orang ramai supaya memahami keperluan rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan baru-baru ini, termasuk bagi diesel.

 

Katanya, meskipun terdapat tekanan daripada rakyat, kerajaan tidak boleh mengambil langkah populis jangka pendek yang boleh menjejaskan kedudukan fiskal dalam jangka panjang.

 

“Saya boleh meluluskannya… untuk menggembirakan rakyat, menggembirakan semua orang buat sementara waktu. Tetapi selepas itu, semua akan menanggung beban. Kita tidak boleh berbuat demikian. Kepimpinan dan dasar mesti mengambil kira cabaran semasa dan masa depan,” katanya.

 

Amaran tersebut dibuat ketika ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik Amerika Syarikat–Iran yang tercetus pada akhir Februari lalu.

 

Walaupun gencatan senjata sementara selama dua minggu bermula 7 April, ketegangan di rantau tersebut masih memberi risiko kepada laluan perdagangan global serta kestabilan harga komoditi utama. - DagangNews.com