KUALA LUMPUR 22 April — Malaysia kini berada pada kedudukan strategik bagi menarik pelaburan sektor minyak dan gas (O&G) susulan ketegangan berterusan di Timur Tengah, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut menambah, kesan daripada konflik di rantau berkenaan turut melonjakkan harga minyak mentah global melebihi paras AS$100 (kira-kira RM395) setong sejak bulan lalu.
Ia menegaskan, gangguan laluan kritikal di Selat Hormuz dan serangan ke atas infrastruktur tenaga mencetuskan kebimbangan terhadap kesinambungan bekalan, serta mengubah pasaran daripada stabil.
“Perkembangan ini mewujudkan premium risiko geopolitik ketara dalam harga minyak, dengan pasaran kini lebih dipacu oleh gangguan bekalan berbanding permintaan,” kata MBSB Research dalam notanya.
Sebelum konflik itu, harga minyak Brent didagangkan dalam julat AS$70 (RM276) setong, mencerminkan keadaan bekalan global yang masih mencukupi walaupun berdepan dengan kesan perang Rusia-Ukraine.
Bagaimanapun ujar firma penyelidikan tersebut, perubahan drastik berlaku apabila konflik Timur Tengah menjejaskan aliran eksport minyak dunia, menyebabkan harga melonjak dan kekal tinggi.
Pada masa sama kata MBSB Research, syarikat tenaga global mula mengalihkan perbelanjaan modal (capex) keluar kepada rantau yang lebih stabil seperti Afrika Barat, Amerika Selatan, dan Asia.
"Langkah ini disokong peningkatan aktiviti penerokaan global yang diunjurkan AS$55 bilion (RM217 bilion) pada 2026, dengan hampir AS$30 bilion (RM118 bilion) ke kawasan kurang berisiko," katanya.

Antara syarikat utama terlibat peralihan ini termasuk Chevron, BP, ExxonMobil dan TotalEnergies yang masing-masing mempergiat pelaburan di lokasi alternatif seperti Guyana, Brazil dan Namibia.
Langkah peralihan berkenaan tambah MBSB Research, mencerminkan penilaian semula risiko geopolitik global serta keperluan untuk mempelbagaikan sumber bekalan tenaga daripada fokus di Timur Tengah.
Dalam konteks Asia Tenggara, Malaysia dilihat semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelaburan baharu, disokong penemuan luar pesisir serta kestabilan politik dan dasar mesra pelabur.
"Seiring situasi itu, PETRONAS melancarkan Malaysia Bid Round (MBR) 2026 bagi menarik pelabur, yang menawarkan sembilan blok penerokaan serta enam peluang sumber ditemui (DRO)," katanya lagi.
Langkah ini jelas MBSB Research, selari dengan sasaran Malaysia bagi mengekalkan pelaburan huluan tahunan sekitar RM60 bilion bagi memastikan kesinambungan pengeluaran dan keselamatan tenaga.
Mengulas prospek sektor O&G, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan pandangan 'positif' terhadap industri tersebut, disokong oleh kekangan bekalan global dan risiko geopolitik yang berterusan.
Ia turut mengenal pasti beberapa syarikat yang berpotensi meraih manfaat daripada situasi semasa termasuk Malaysian Marine & Heavy Engineering, Bumi Armada, Dialog Group serta Hibiscus Petroleum.
“Paras harga minyak yang tinggi dijangka berkekalan dalam tempoh terdekat berikutan ketidaktentuan bekalan, sekali gus menyokong momentum sektor secara keseluruhan,” tambah MBSB Research. - DagangNews.com








