KNM bertegas teruskan EGM walaupun dibantah Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KNM bertegas teruskan EGM walaupun dibantah Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt – KNM Group Berhad mengesahkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu tetap diteruskan hari ini (30 Oktober 2025).

 

Namun, Pengerusi akan mencadangkan kepada pemegang saham supaya mesyuarat tersebut ditangguhkan ke 6 November 2025 pada jam 10.30 pagi di Mines Beach Resort, Jalan Dulang, The Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor.

 

KNM dalam satu kenyataan memaklumkan, cadangan penangguhan itu dibuat bagi menyelaraskan tarikh mesyuarat dengan penyahsenaraian syarikat daripada Bursa Malaysia pada 5 November 2025 seperti yang dinyatakan dalam surat Bursa bertarikh 3 Oktober 2025.

 

“Mahkamah Tinggi telah mengarahkan MAA Group Berhad (MAAG), CIMSEC Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, KNM Group Berhad dan KNM Process Systems Sdn Bhd (KNMPS), yang secara kolektif dirujuk sebagai defendan, untuk memfailkan afidavit balasan.

 

“Bagaimanapun, mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah untuk menghalang EGM KNM yang dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober 2025,” katanya.

 

Syarikat itu menegaskan bahawa pemegang saham yang hadir pada mesyuarat berkenaan akan membuat keputusan sama ada untuk meluluskan cadangan penangguhan mesyuarat tersebut.

 

KNM memberi jaminan EGM yang akan diadakan kekal sah dan akan dijalankan mengikut peraturan, serta syarikat akan terus memaklumkan semua perkembangan secara telus kepada para pemegang saham.

 

Terdahulu, Bursa Malaysia menegaskan tindakan undang-undang itu bertujuan menghalang KNM daripada melanggar peraturan penyenaraian serta mengelakkan resolusi penjualan Deutsche KNM GmbH (DKNM), bernilai €270 juta (RM1.34 bilion) dibincang atau diundi tanpa kelulusan yang sah. 

 

Mahkamah memberi KNM dan MAA sehingga 19 November 2025 untuk menjawab afidavit Bursa.

 

Bursa berkata, tindakan undang-undang tersebut diambil bagi melindungi integriti pasaran dan keyakinan pelabur, memandangkan KNM akan dinyahsenarai pada 5 November 2025 berikutan pelan penstrukturan semulanya ditolak. 

 

Bursa turut menjelaskan bahawa pelupusan DKNM dikategorikan sebagai transaksi utama yang memerlukan laporan penilaian bebas, penasihat korporat serta edaran pekeliling kepada pemegang saham sebelum EGM boleh diadakan.

 

Saham KNM telah digantung sejak 13 Oktober lalu pada harga 0.5 sen sesaham, dengan nilai pasaran sekitar RM20.23 juta. 

 

Sebagai syarikat PN17, operasi tempatan KNM terus mencatat kerugian, dan pelupusan unit Jerman itu dianggap penting bagi menjana dana untuk membayar hutang RM1.3 bilion serta menyediakan modal kerja RM100 juta bagi kelangsungan operasi kumpulan.

 


Berpangkalan di Malaysia, KNM Group telah disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad pada 11 Ogos 2003.

 

Kumpulan ini merupakan entiti multinasional yang terlibat dalam pembuatan peralatan pemprosesan, pengurusan projek, kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan untuk industri tenaga boleh diperbaharui, tenaga, utiliti, penapisan dan petrokimia. - DagangNews.com