KMI Tawau Medical Centre meterai perjanjian bina, sewa perluasan hospital bernilai RM72 juta di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KMI Tawau Medical Centre meterai perjanjian bina, sewa perluasan hospital bernilai RM72 juta di Sabah

Majlis pemeteraian perjanjian KMI Tawau Medical Centre Sdn Bhd (KMITMC) dan Tawau Healthcare Sdn Bhd (THSB) di Kuala Lumpur pada 14 April 2026.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 April - KMI Tawau Medical Centre Sdn Bhd (KMITMC), subsidiari tidak langsung TDM Bhd, memeterai perjanjian untuk membina dan menyewa (ATBSL) dengan Tawau Healthcare Sdn Bhd (THSB) bagi projek perluasan hospital bernilai RM72 juta di Tawau, Sabah.

 

Kontrak tersebut merangkumi pembinaan blok hospital baharu serta kerja naik taraf kemudahan sedia ada.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TDM berkata, THSB akan melaksanakan pembinaan bangunan hospital pakar baharu, sebuah bangunan tambahan serta kerja pengubahsuaian bangunan sedia ada.

 

Menurut syarikat itu, projek berkenaan akan dibangunkan di beberapa lot tanah di Tawau yang secara kolektif dirujuk sebagai tapak projek.

 

“Pihak-pihak yang terlibat bersetuju bahawa kos pembangunan kasar bagi projek ini adalah sebanyak RM72 juta,” katanya.

 

Jumlah tersebut merangkumi kos pembinaan, pemasangan peralatan, fi profesional serta perbelanjaan berkaitan lain.


 

solar

 

solar

 

Kapasiti hospital dipertingkat

Kemudahan baharu dan sedia ada itu dijangka mempunyai kapasiti gabungan sebanyak 59 katil, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan.

 

Selepas projek siap, THSB akan memberikan hak sewa kecil kepada KMITMC bagi tanah dan bangunan baharu menerusi perjanjian berasingan.

 

Pembinaan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dari tarikh perjanjian menjadi tanpa syarat.

 

Sebarang kelewatan melepasi tempoh dipersetujui boleh dikenakan ganti rugi tertentu dan ditetapkan sebanyak RM15,780.82 sehari, dikira pada kadar 8% setahun daripada kos projek.

 

Tempoh awal sewaan kecil ditetapkan selama 15 tahun dengan pilihan pembaharuan bagi tempoh tambahan 15 tahun lagi.

 

Sepanjang tempoh awal itu, kadar sewa ditetapkan pada 7% setahun daripada kos pembangunan kasar atau kos yang disemak semula, manakala kadar sewa bagi tempoh berikutnya akan ditentukan berdasarkan penilaian pasaran, tertakluk kepada had kenaikan tertentu.

 

Selari strategi pengembangan TDM

TDM berkata, cadangan tersebut selaras dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan operasi penjagaan kesihatannya.

 

“Cadangan ini mencerminkan komitmen KMITMC terhadap pengembangan KMI Tawau Medical Centre dan dijangka mengukuhkan kehadirannya di Tawau serta kawasan tadahan sekitarnya,” kata Dr. Rayney Azmi Ali, Ketua Pengarah Eksekutif KMI Healthcare.

 

Menurut kumpulan itu, perluasan berkenaan dijangka meningkatkan kapasiti operasi dan meluaskan pangkalan pelanggan, sekali gus menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan.

 

Dalam jangka panjang, inisiatif itu juga bertujuan meletakkan Kumpulan TDM pada kedudukan lebih kukuh untuk memperluas jejak serantau serta meningkatkan keupayaan dalam segmen perniagaan penjagaan kesihatan di Malaysia Timur.

 

Cadangan tersebut masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham serta pemenuhan beberapa syarat terdahulu.

 

Jika berjalan mengikut perancangan, pembangunan itu dijangka mula beroperasi menjelang suku kedua 2028.

 

Kesan positif jangka panjang

TDM berkata, cadangan berkenaan tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih atau tahap penggearan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, namun dijangka menyokong pertumbuhan mampan segmen penjagaan kesihatannya selepas itu. - DagangNews.com