KLK Land umum penyewa utama bagi Coalfields Retail Park | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLK Land umum penyewa utama bagi Coalfields Retail Park

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 14 Nov - KLK Land Sdn Bhd, anak syarikat hartanah Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), telah berjaya memperoleh barisan penyewa utama bagi projek terbaharunya, Coalfields Retail Park di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh, yang dijadualkan dibuka menjelang akhir suku kedua 2026.

 

Antara penyewa yang telah disahkan ialah Village Grocer, HarborLand, kedai Skechers terbesar di Asia Tenggara, Decathlon, Harvey Norman, Maybank dan Restoran Serai Seafood.

 

Turut bakal membuka cawangan ialah The Social, Lisette’s Café & Bakery, Lavender Bakery, K Fry, Super Saigon, Blue Ice Skating Rink, Panda Eyes, Pickle Park dan KKV.

 

Pengarah Urusan KLK Land, Lee Wen Ling berkata perkembangan itu membawa projek berkenaan selangkah lagi ke arah merealisasikan visinya sebagai destinasi komuniti.

 

“Dengan kehadiran penyewa utama kami, kami semakin hampir untuk merealisasikan aspirasi menjadikan Coalfields Retail Park sebagai destinasi runcit dan sosial yang bermakna untuk komuniti, memupuk hubungan serta menghimpunkan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media.

 

Pusat beli-belah tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan KLK Land untuk membangunkan Bandar Seri Coalfields sebagai sebuah bandar raya mampan yang menyokong kawasan Greater North Klang Valley.


 

Coalfields Retail Park

 


Dengan keluasan binaan kasar satu juta kaki persegi, pusat gaya hidup hibrid itu akan menempatkan 135 lot runcit dan 925 petak parkir, dan dijangka menarik lebih lima juta pengunjung setahun daripada kawasan kediaman dalam radius pemanduan 20 hingga 30 minit.

 

Coalfields Retail Park direka dengan susun atur hibrid dalam-dan-luar serta dihubungkan secara langsung ke taman tasik seluas tujuh ekar.

 

Terletak strategik dalam koridor Rawang–Puncak Alam–Sungai Buloh–Ijok–Kuala Selangor, pembangunan ini disasarkan menjadi pusat serantau baharu bagi aktiviti komersial dan riadah.

 

Projek ini turut menerima penganugerahan sementara Sijil GreenRE Gold di bawah kategori Bangunan Bukan Kediaman.

 

Awal tahun ini, KLK Land mengumumkan kerjasama pendidikan dengan Kuen Cheng Holistic Education Bhd, yang akan melengkapkan zon pendidikan bersepadu di Bandar Seri Coalfields, termasuk Wesley Methodist Private School dan SJK (C) Lee Loy Seng yang bakal dibina. - DagangNews.com