KLIBOR akan dihapuskan, diganti MYOR dan MYOR-i menjelang 2029 – Bank Negara Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLIBOR akan dihapuskan, diganti MYOR dan MYOR-i menjelang 2029 – Bank Negara Malaysia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Okt - Penanda aras kadar faedah antara bank, Kuala Lumpur Interbank Offered Rate (KLIBOR) akan ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2029, dan akan digantikan dengan Malaysia Overnight Rate (MYOR) dan Malaysia Islamic Overnight Rate (MYOR-i).

 

Bank Negara Malaysia dalam kenyataan berkata, peralihan ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi penanda aras kewangan negara di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan 2022–2026, selaras dengan inisiatif serantau dan global.

 

MYOR dan MYOR-i, yang diperkenalkan pada tahun 2021 dan 2022, adalah kadar penanda aras berasaskan transaksi sebenar di pasaran yang aktif dan cair, menjadikannya lebih telus dan berdaya tahan.

 

Berikut garis masa peralihan:

 

1 Okt 2026: Institusi kewangan perlu sedia tawar produk berasaskan MYOR dan MYOR-i

 

1 Julai 2027: KLIBOR tidak lagi dibenarkan digunakan dalam dagangan baharu; semua produk Islam wajib guna MYOR-i

 

30 Jun 2028: Semua kontrak lama berasaskan KLIBOR perlu ditukar kepada MYOR/MYOR-i atau masukkan klausa sandaran (fallback)

 

1 Jan 2029: KLIBOR dihentikan sepenuhnya.

 

“Peralihan kepada MYOR dan MYOR-i merupakan satu inisiatif proaktif dan berpandangan ke hadapan untuk memastikan penanda aras kewangan domestik kekal kukuh,” kata kenyataan itu.

 

Bank pusat itu menyatakan peserta pasaran dijangka bersedia dari segi operasi menjelang 1 Oktober 2026 untuk menawarkan produk-produk yang menggunakan MYOR dan MYOR-i sebagai sebahagian daripada penawaran standard mereka.

 

Katanya, 1 Julai 2027, KLIBOR tidak lagi boleh digunakan dalam sebarang urus niaga baharu merentasi semua produk, manakala MYOR-i akan diwajibkan sebagai kadar rujukan bagi semua produk Islam yang baharu.

 

Menjelang 30 Jun 2028, semua kontrak sedia ada yang menggunakan KLIBOR akan ditukarkan kepada MYOR/MYOR-i sekiranya boleh, dan sebarang kontrak yang masih belum ditukar hendaklah memasukkan klausa sandaran (fallback provisions) yang kukuh.

 

“Bank Negara, dengan kerjasama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC), akan terus bekerjasama rapat dengan pihak industri untuk memastikan kesiapsiagaan industri secara menyeluruh dalam menghadapi peralihan ini,” kata kenyataan itu lagi. - DagangNews.com